Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Projek Pertanian Bandaran (PPB) untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan khususnya daripada aktiviti pertanian penduduk di bandar dan pinggir bandar dilihat mampu memenuhi keperluan sendiri serta negara.

Ini sekali gus membantu penduduk mengeluarkan sendiri bahan makanan seperti sayur-sayuran, herba, ulam-ulaman dan rempah ratus yang lebih segar dan bersih.

PPB secara tidak langsung dapat mengurangkan kos sara hidup penduduk bandar dan pinggir bandar selain menambah pendapatan sampingan.

Menjelang 2020, kadar penduduk bandar di Malaysia dijangka meningkat hingga 75 peratus berbanding 65.4 peratus pada 2000.

Menyedari hakikat itu, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menggalakkan masyarakat setempat menceburi bidang pertanian.

Ia dinamakan Laman Komuniti Surada (LKS) untuk tujuan pendidikan dan pameran yang dibahagikan kepada empat kategori iaitu herba Inggeris, laman sayur, laman aroma dan bungaan.

Pengarah UCTC UPM Prof Dr Mansor Abu Talib berkata, LKS juga mengetengahkan konsep kotak penanaman, sistem pengairan separa automatik dan bakul kompos.


MAHANI memberi penerangan kepada komuniti Taman Desa Surada.

Beliau berkata, program itu dijangka mengambil masa selama setahun bagi melihat impak pembangunan komuniti yang berterusan dalam membantu menangani wabak denggi melalui PPB.

“Antara objektif program ini adalah membina komuniti Surada yang berpengetahuan dalam menguruskan pertanian bandaran.

“Ia dilakukan secara lestari kepada komuniti dan secara semestinya membantu mengurangkan masalah wabak denggi di kawasan berkenaan.

“Oleh itu, UCTC bersama Taman Pertanian Universiti (TPU) dan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB) UPM tampil untuk membantu memindahkan ilmu kepada komuniti Desa Surada secara intensif menerusi konsep PPB,” katanya.


KOMUNITI tekun mendengar penerangan mengenai cara penanaman yang betul.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan PPB di komuniti Taman Desa Surada, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Pertanian (Pengembangan dan Keusahawanan) UCTC UPM Mahani Amat.

Prof Mansor berkata, program ini dilaksanakan Mac lalu turut mendapat kerjasama Persatuan Penduduk Taman Desa Surada.

“Projek berkenaan menggalakkan kaedah yang mudah guna, penggunaan teknologi tepat guna dan cadangan penanaman tanaman yang mampu melestarikan kesejahteraan seterusnya membasmi wabak denggi di kawasan komuniti berkenaan.

“Ia membabitkan seluruh komuniti dari peringkat anak hingga dewasa melalui beberapa siri pemindahan ilmu secara intensif, berterusan dan menggunakan pendekatan berbeza yang dilaksanakan di Pusat Komuniti Taman Desa Surada. Plot demonstrasi juga dibangunkan di sekitar pusat komuniti dan surau berkenaan sebagai plot contoh,” katanya.


KOMUNITI membuat sendiri alat perangkap nyamuk.

Beliau menggesa penduduk mengumpul ilmu dan kemahiran menjadikan projek ini sebagai pencetus kepada masyarakat untuk bercucuk tanam di rumah.

Sementara itu, Mahani berkata, terdapat beberapa jenis pokok yang mampu menghalau nyamuk dari mendekati kawasan rumah.

Katanya, jenis pokok yang boleh menghalau nyamuk terdiri daripada pohon yang mengeluarkan aroma dan bauan seperti bangun-bangun, dill, jeremin, daun bawang, rosemary, oregano serta pokok yang berbunga.


KOMUNITI bekerjasama memasukkan tanah campuran dalam beg semaian.

“Setiap pokok di plot LKS ini dilengkapi dengan tanda nama, info jenis famili pokok dan kegunaan herba secara am.

“Sudut info laman herba juga dibina bagi memudahkan komuniti dan pelawat mendapatkan maklumat ringkas dengan lebih jelas.

“Selain itu, laman herba ini juga ada bakul kompos yang disediakan untuk menghasilkan kompos organik secara semula jadi,” katanya.

Mahani berkata, ia juga sebagai sumber baja kepada pokok di laman herba. Komuniti diajar untuk membuat kompos organik dengan menggunakan daun kering yang terdapat di sekitar taman.


KOMUNITI tekun mendengar penerangan mengenai cara asas penanaman.

“Secara tidak langsung ia mampu meningkatkan kebersihan taman dan sebagai sumber baja organik semula jadi.

“Bagi menggalakkan aktiviti PPB dijalankan warga Taman Desa Surada, kita turut menyumbang tanah kompos dan biji benih kepada setiap wakil lorong terbabit.

“Ini juga menggalakkan mereka supaya terbabit dalam pertandingan pertanian bandaran yang akan berlangsung pada Ogos hingga Disember depan,” katanya.


KOMUNITI Taman Desa Surada bersama-sama menyediakan plot contoh penanaman.

Kelebihan PPB

• Jaminan dan keselamatan makanan di kawasan bandar

• Pembangunan ekonomi setempat

• Pengurusan lestari persekitaran bandar seperti mengurangkan jarak pergerakan hasil segar, penghijauan bandar dan pengawalan jejak karbon

• Impak sosial dan ekonomi dari segi pengurangan perbelanjaan isi rumah, sumber kewangan bagi yang berpendapatan rendah dan masyarakat harmoni kerana aktiviti lebih berbentuk kekeluargaan dan komuniti

• Penggunaan tanah yang optimum

• Mencantikkan kawasan

• Mengeratkan lagi hubungan komuniti, universiti dan agensi kerajaan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 4:01 PM