SALAHUDDIN (empat dari kiri) beramah mesra bersama penerima anugerah.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Biarpun mengalami masalah penglihatan akibat glaukoma sedikit pun tidak mematahkan semangat usahawanita ini berkecimpung dalam bidang industri asas tani (IAT).

“Apa saja kerja kita lakukan dengan niat yang betul pasti menemui kejayaan. Jangan jadikan alasan untuk kita tidak berjaya seperti orang lain,” kata Zarida Zakaria.

Beliau antara yang terpilih menerima Anugerah Agropreneur Agrobank (AAA) 2018 kategori orang kurang upaya (OKU), sekali gus melayakkannya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000.

Zarida berkata, syarikatnya Sinar ZZ Enterprise yang ditubuhkan pada 2009 menjalankan perniagaan membekal dan memproses makanan berasaskan ubi.

“Saya membekalkan produk IAT antaranya rempeyek, kerepek, pisang, kerepek ubi dan kuih peneram kepada lebih 85 kedai runcit di sekitar Pulau Pinang.

“Pada masa sama, saya mengambil peluang dengan pembiayaan ditawarkan Agrobank bagi menaik taraf peralatan membantu operasi syarikat untuk meningkatkan hasil pengeluaran.

“Kini syarikat dalam proses mendapatkan sijil amalan pengilangan baik (GMP) bagi mengembangkan lagi perniagaan ke seluruh negara,” katanya selepas ditemui pada AAA 2018 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anugerah itu disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub. Hadir sama, Pengerusi Agrobank Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.


ZARIDA memenangi kategori OKU.

Sementara itu, Mohamad Zabidi berkata, perkhidmatan Agrobank tidak hanya terhad kepada pembiayaan kewangan malah turut berperanan membangunkan agropreneur berpotensi dan sedia ada melalui Program Pembangunan Usahawan (ADP).

Katanya, program ADP diperkenalkan pada 2013 adalah inisiatif Agrobank untuk membantu usahawan mendalami aspek pengurusan perniagaan, kewangan dan teknikal.

“Hingga kini, Agrobank menganjurkan 395 sesi latihan membabitkan 14,412 orang usahawan tani di seluruh Malaysia di dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan IAT.

“Sebahagian daripada mereka yang berjaya dijemput berkongsi amalan terbaik perniagaan dan memberikan motivasi kepada peserta program. Inilah kelebihan yang diketengahkan Agrobank bagi melatih dan membimbing lebih ramai usahawan,” katanya.

Menurutnya, AAA diperkenalkan pada tahun 2016 dan ia antara inisiatif korporat Agrobank sebagai pengiktirafan kepada pelanggan yang berjaya.

“Anugerah ini secara tidak langsung memperkenalkan dan mempromosikan perniagaan mereka kepada masyarakat umum di Malaysia.

“Pada tahun ini, kami menerima 127 pencalonan dari seluruh negara. Pemilihan pemenang bagi AAA bermula sejak Februari lalu berdasarkan rangka kerja kecemerlangan perniagaan (BEF).

“Ia berteraskan tujuh elemen utama iaitu kepimpinan, perancangan, maklumat, proses, pekerja, pelanggan dan hasil perniagaan. BEF yang diguna pakai ini dihasilkan dari input Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan juga modul Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Katanya, selaras dengan pembangunan negara, pihaknya dapat melihat usahawan tani yang dulu berniaga secara kecil-kecilan kini berjaya mengkomersialkan produk dan projek pertanian melalui pembiayaan serta kemudahan yang disediakan Agrobank.


PENERIMA Anugerah Agropreneur Cemerlang, Jaffri Ahmad dan Mazlina Kamarudin.

“Terdapat pelanggan yang bermula secara kecil-kecilan kini tersenarai di Bursa Saham. Kita juga komited dalam memacu pengamalan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI).

“VBI dilancarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2017 untuk mengukuhkan peranan institusi perbankan Islam di Malaysia dalam membangunkan golongan sasaran dan komuniti setempat.

“Agrobank antara sembilan institusi perbankan Islam dalam melaksanakan VBI di peringkat industri pertanian dan asas tani,” katanya.

Mohamad Zabidi berkata, pihaknya menyediakan pembiayaan yang menyeluruh untuk petani, penternak, nelayan, usahawan agro makanan yang merangkumi pembiayaan rantaian penuh seperti pembekalan hasil pertanian hingga ke pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna.

“Agrobank menawarkan pembiayaan kecil dari RM5,000 iaitu Pembiayaan Mikro sehinggalah pembiayaan korporat iaitu puluhan juta ringgit nilainya.

“Ini termasuk pembiayaan modal pusingan, untuk pembelian tanah pertanian, mesin dan jentera dan juga perdagangan kewangan yang berasaskan pertanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 3:25 PM