SALAHUDDIN merasmikan program mempromosikan nanas Malaysia di Walmart Beijing, China.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Kebenaran mengeksport pelbagai jenis tanaman berasaskan buah-buahan mencerminkan keyakinan China terhadap mutu hasil pertanian Malaysia, sama ada dari segi kebersihan, keselamatan atau keenakannya.

Oleh itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) giat menjalankan promosi buah-buahan tempatan ke luar negara khususnya China.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, objektif program promosi ini untuk memperkenalkan keunikan nanas Malaysia.

“Kita tahu nanas memang manis, lebih berair dan serat yang bagus untuk kesihatan. Tambahan pula dengan keadaan iklim dan cuaca Malaysia yang menyebabkan nanas paling sesuai ditanam sepanjang tahun.

“Ia menjadikan nanas Malaysia sentiasa berada di pasaran. Di samping itu, tujuan promosi adalah untuk meningkatkan kesedaran jenama

nanas segar dari negara ini.

“Antara jenama yang terkenal di Malaysia termasuk Tropicale, Aqina Farm, Melita dan Royalmast. Kita harap jenama ini akan berada di pasar raya di China terutama di Beijing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program mempromosikan nanas Malaysia di Walmart Beijing, baru-baru ini.


SEBAHAGIAN pemain industri nanas Malaysia bersama Salahuddin.

Salahuddin berkata, nanas Malaysia berjaya menembusi pasaran China pada 2017.

“Eksport nanas segar Malaysia yang pertama ke China adalah pada Oktober 2017 menerusi beberapa syarikat. Hingga kini, 15 kontena nanas Malaysia berjaya dihantar ke China dengan anggaran 202 tan metrik dan nilai sebanyak RM1.5 juta.

“Pada 2017, Malaysia mempunyai keluasan penanaman nanas sebanyak 13, 733 hektar dengan pengeluaran 394,000 tan metrik dan nilai RM515 juta sementara eksportnya pula RM155 juta,” katanya.

Menurutnya, Malaysia menyasarkan RM320 juta untuk eksport produk nanas dengan jumlah pengeluaran sebanyak 700,000 metrik tan pada 2020.


SALAHUDDIN memegang buah nanas MD2.

“Sektor nanas akan terus diperkasakan di sepanjang rantaian bekalan dengan meluaskan lagi program penanaman nanas MD2 Malaysia apabila kita menyasarkan keluasan tanaman nanas ini sebanyak 5,500 hektar menjelang 2020.

“Antara usaha yang dilakukan seperti pembukaan dan perluasan kawasan baru untuk tanaman nanas bagi memastikan nanas dapat dibekalkan dengan kuantiti mencukupi,” katanya.

“Pengeluaran nanas yang berkualiti dengan penggunaan Sijil Amalan Pertanian Baik (MyGAP) dan program ini dibantu Jabatan Pertanian (DOA),” katanya.


BUAH nanas MD2 mendapat sambutan di China.

HALA TUJU INDUSTRI NANAS MALAYSIA

• Meningkatkan pengeluaran nanas secara komersial terutama untuk tujuan eksport

• Melahirkan pengusaha pendapatan tinggi selaras dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN)

• Pengeluaran nanas dijangka tumbuh pada kadar 22.1 peratus setahun dengan unjuran pengeluaran nanas sebanyak 700,000 tan metrik pada 2020

• Pendekatan Program Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan akan diperluaskan ke seluruh Malaysia untuk mencapai matlamat peningkatan pengeluaran dan jaminan bekalan khususnya nanas yang mencukupi, konsisten serta berterusan

• Jumlah eksport produk nanas Malaysia pada 2016 adalah RM138 juta

• Sasaran nilai eksport nanas pada 2020 adalah RM320 juta sejajar dengan pembukaan pasaran yang meluas di China terutama varieti MD2

• Nilai pengeluran nanas negara dijangka mencecah RM1 bilion pada 2020

Keluasan Tanaman Nanas Negara

• Keluasan: 13,148 hektar

• Hasil: 391,714.4 tan metrik

• Nilai: RM 515,248,678

Keluasan tanaman nanas utama mengikut negeri (hektar):

• Johor: 8934.5

• Sabah: 988

• Sarawak: 972.5

• Kedah: 778.3

• Pahang: 572

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 12:36 PM