BONGKAH cendawan kukur yang mula bercambah.
Abnor Hamizam Abd Manap
rencana@hmetro.com.my

Cendawan kukur atau dikenali cendawan sisir lazimnya hanya ditemui pada batang pokok kayu mati atau hidup.

Secara amnya, cendawan kukur tumbuh meliar dan mula hidup selepas hujan. Tidak hairan, cendawan berkenaan hanya boleh ditemui mengikut musim tertentu hingga ada ketikanya ia sangat sukar diperoleh.

Bagaimanapun, hasil penyelidikan yang dijalankan Institut Sains Biologi (ISB) Universiti Malaya (UM), cendawan kukur kini boleh didapati sepanjang masa dan tidak lagi perlu bersusah payah mencarinya.

Ketua Projek Produk dan Cendawan Inovasi UM, Prof Dr Noorlidah Abdullah berkata, pihaknya menjalankan kajian dan penyelidikan bermula dari 2011 selepas mendapati cendawan berkenaan sukar diperoleh kerana ia tumbuh mengikut keadaan cuaca selain bergantung kepada spora cendawan.

Katanya, cendawan berkenaan banyak terdapat di Mexico, India dan Nigeria selain negara di Asia Tenggara. Namun di kebanyakan negara, ia tidak popular sebagai makanan seperti di Malaysia.

“Penyelidikan bertujuan membolehkan cendawan berkenaan boleh didapati setiap masa. Kami menjalankan pembiakan baka pada 2014 bagi membolehkan cendawan kukur ini diusahakan secara komersial.

“Ini sekali gus memberi peluang kepada mereka yang berminat mengusahakan perniagaan cendawan kukur apatah lagi harga pasaran mencecah RM50 sekilogram,” katanya yang ditemui di Pusat Penyelidikan Bioteknologi Glami Lemi, UM, Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


DR Noorlidah menunjukkan bongkah cendawan kukur.

Dr Noorlidah berkata, pihaknya serius menjalankan penyelidikan cendawan atau nama saintifiknya Schizophyllum commune berikutan sentiasa mendapat permintaan.

Selain itu, katanya, cendawan kukur yang boleh diusahakan sendiri ini mampu mengelak risiko keracunan jika ia dikutip tanpa diketahui keadaan persekitaran ketika itu.

“Hasil penyelidikan dijalankan, cendawan kukur mempunyai khasiat nutrisi dan perubatan yang tinggi berbanding cendawan lain antaranya cendawan butang, enoki dan tiram.

“Cendawan kukur mengandungi schizophyllan iaitu sejenis ramuan di dalam ubat antibarah khususnya barah serviks. Ia bertindak meningkatkan sel imun bagi membunuh sel barah, virus atau kuman yang menyerang badan.

“Ia juga mengandungi sebatian antioksidan yang kuat seperti selenium, asid protocatechuic, ergotheionene dan sebatian fenolik yang diperlukan bagi menyingkir toksik dalam badan selain kaya dengan protein, karbohidrat, magnesium dan vitamin D,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 20 pengusaha cendawan yang mengusahakan projek ini dengan memperoleh bongkah daripada mereka.

“Habuk kayu dan dedak ayam antara ramuan utama yang digunakan. Setiap bongkah seberat 800 gram (g) perlu direbus sekurang-kurangnya tujuh jam sebelum disuntik dengan benih cendawan kukur.

“Berbanding bongkah cendawan tiram yang boleh diguna hingga empat atau lima kali pengeluaran, bongkah cendawan kukur ini pula mampu membuat dua pusingan pengeluaran saja.

“Setiap bongkah mampu menghasilkan antara 80 hingga 120 gram cendawan kukur dengan pengeluaran hasil pertama kira-kira empat minggu selepas suntikan anak benih ke dalam bongkah,” katanya.


PEKERJA menyiapkan bongkah cendawan kukur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 12:26 PM