AHMAD (dua dari kiri) menunjukkan produk yang dihasilkan berasaskan durian.
Nor Farhani Che Ad
rencana@rencana.com.my

Pes durian kini antara produk yang mendapat permintaan tinggi di pasaran berikutan pelbagai produk makanan dihasilkan berasaskan durian termasuk coklat, kopi dan krep durian.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya mengambil peluang memperluaskan pasaran buah berkenaan dengan menghasilkan pes durian sekali gus membantu petani memasarkan hasil durian mereka.

“Durian jenis musang king, D24 dan sebagainya mudah menembusi pasaran, tapi durian kampung berhadapan kesukaran dijual hingga ada kalanya berlaku lambakan.

“FAMA sentiasa berusaha mengembangkan pasarannya dengan memproses isi durian sejuk beku dan pes seterusnya dapat digunakan dalam pelbagai jenis produk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat dan penerangan berkenaan perjalanan serta proses bagi pembuatan pes durian di Kilang Memproses Pes Durian Pusat Operasi Fama Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Katanya, proses menghasilkan pes durian FAMA menggunakan kaedah yang mengikuti peraturan amalan pembuatan pemprosesan makanan secara betul bagi menjamin kualitinya.

“Proses menghasilkan isi durian sejuk beku ini dilakukan dengan penuh teliti bukan saja dari sudut kebersihan, tapi juga memerlukan suhu sesuai dalam memastikan bahan tidak tercemar,” katanya.

Menceritakan proses menghasilkan pes durian katanya, ia bermula dengan durian yang diambil dan digredkan sebelum dibawa ke kilang memproses untuk dibersihkan.

Menurutnya, buah durian yang sudah dibersihkan akan mula diproses dalam kilang pada suhu 16 darjah Celsius.

“Kulit durian dibuka menggunakan mesin sebelum dikupas secara manual pekerja.

“Selepas proses mengasingkan ulas daripada kulit durian, isinya diasingkan daripada biji dan melalui proses pengasingan bendasing bagi memastikan isi durian tidak bercampur dengan benda lain,” katanya.

Kemudian pes durian ditimbang dan dimasukkan ke dalam peti sejuk segera bagi proses penyejukan segera di bawah suhu 30 darjah Celsius selama 30 minit.


PROSES mengasingkan isi daripada biji durian.

“Selepas pes disejukkan proses pembungkusan kedap udara dilakukan sebelum disimpan di dalam bilik sejuk di bawah suhu 18 darjah Celsius.

“Kaedah yang digunakan menjadikan pes mampu bertahan hingga dua tahun. FAMA turut menggunakan kaedah sama bagi memproses hasil tanaman yang lain seperti cempedak dan jagung,” katanya.

Katanya, hingga kini FAMA memiliki 12 kilang memproses durian sejuk beku iaitu seperti di Jerantut, Pahang; Machang, Kelantan; Sungai Petani, Kedah; Beseri, Perlis; Batu Kurau, Perak dan Batu Pahat, Johor.

“Setiap kilang mampu menghasilkan satu hingga lima tan metrik pes durian dalam masa sehari. Kami bercadang membuka tiga lagi kilang seperti ini iaitu di Prai, Pulau Pinang pada tahun depan dan di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang dalam memenuhi permintaan pes durian yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, permintaan produk durian seperti pes dan ulas sejuk beku serta durian segar di pasaran luar negara semakin meningkat saban tahun.

“Pada 2015, nilai eksport produk durian ke luar negara adalah RM67 juta diikuti pada 2016 nilai eksport meningkat kepada RM79 juta dan tahun lalu nilai eksport durian ke luar negara RM89 juta.

“Pada tahun ini, hingga Mac lalu nilai eksport durian sebanyak RM67 juta dan menjangkakan nilainya meningkat memandangkan hasil pengeluarannya tahun ini juga meningkat,” katanya.

Beliau berkata, antara negara yang mengimport produk durian Malaysia adalah China, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Macau, Korea dan Australia.


PES durian dibungkus secara kedap udara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 September 2018 @ 12:08 PM