PENGURUSAN FPA dan MARDI bersama pelajar UiTM.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Jasin, kini menyusun strategi untuk mempelbagaikan skop penyelidikan dan jalinan kerjasama bersama industri berasaskan tanaman kontan.

FPA mengorak langkah dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) khususnya dalam tanaman durian serta kelapa selain memberi fokus utama kepada industri perladangan dan tanaman komoditi.

Dekan FPA UiTM Prof Madya Dr Asmah Awal berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Negeri Melaka atas sumbangan 35 anak pokok durian klon MDUR88.

Beliau berkata, projek penanaman durian hibrid ini adalah satu titik tolak dan langkah pertama kepada pelbagai usaha sama pintar antara UiTM serta MARDI.

“Kolaborasi ini menyediakan peluang kepada pensyarah dan pelajar diberi pendedahan kepada teknik pembiakbakaan, cara penanaman dan pengkomersialan durian.

“Ia penting bagi fakulti untuk menghasilkan graduan perladangan yang profesional. Pendedahan dan pendekatan ini memberi motivasi kepada pelajar yang berminat untuk menceburi bidang pertanian selepas menamatkan pengajian nanti.

“Bukan itu saja, pensyarah dan pelajar juga adalah duta fakulti yang akan meluaskan perkongsian hasil pembangunan dan penyelidikan (R&D) penanaman durian serta kelapa secara terus kepada petani,” katanya.


PESERTA Seminar Teknologi Penanaman Durian Hibrid MARDI (MDUR88).

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan anak pokok durian hibrid MARDI MDUR88 di Ladang FPA UiTM Cawangan Melaka Kampus Jasin, baru-baru ini.

Majlis penyerahan disempurnakan Pengarah MARDI Negeri Melaka Saniah Kormin. Turut hadir, Pegawai Penyelidik MARDI Sintok, Kedah Salehudin Md Radzuan.

Sementara itu, Saniah berkata, pihaknya memfokuskan kepada kolaborasi secara terus antara institusi penyelidikan dengan IPTA seperti UiTM menerusi Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

“Kolaborasi ini bagi memastikan impak teknologi yang dijana MARDI khususnya dalam tanaman durian dapat dipindahkan terus kepada golongan sasaran dan masyarakat.

“Pemindahan teknologi ini juga berperanan penting bagi menilai potensi sebenar hasil durian MDUR88 di luar plot penyelidikan MARDI.

“Durian antara tanaman yang menjadi keutamaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta tersenarai dalam sumber kekayaan baru negara,” katanya.

Menurutnya, antara inisiatif termasuk program penyelidikan, pengembangan pertanian dan promosi ke peringkat antarabangsa.


SANIAH (dua dari kiri) menyampaikan anak pokok durian hibrid MARDI (MDUR88) kepada Dr Asmah.

“MARDI diberi tanggungjawab bagi pemerhatian inklusif dan menyeluruh kepada penambahbaikan serta pembiakbakaan klon durian yang sedia ada selain baru.

“MDUR 88 adalah sejenis durian hibrid MARDI yang diperkenalkan pada 1992 hasil daripada kacukan antara induk betina D24 dengan debunga D10.

“Ia ditanam di ladang FPA seluas 0.4 hektar dan antara kebun durian hibrid MARDI yang pertama di Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Seminar Teknologi Penamaman Durian Hibrid MARDI (MDUR88) yang disampaikan Salehudin turut menyentuh berkenaan keistimewaan durian MDUR 88, teknik penanaman terkini, kaedah pembajaan dan pengurusan penyakit serta kawalan perosak.

Menurut Salehudin, proses pendebungaan adalah satu aspek penting untuk menghasilkan buah durian yang berkualiti. Selain itu, kanker Phytophtora adalah penyakit utama yang menjangkiti pokok durian.

“Penyakit ini senang merebak pada pokok yang kurang sihat dan di kawasan berkelembapan tinggi. Pengurusan ladang menjadi aspek penting bagi memastikan pokok durian yang ditanam bebas daripada penyakit ini.

“Ciri-ciri MDUR 88 seperti biji yang penuh dan besar, berisi tebal, kuning keemasan serta berasa lemak manis menjadikan MDUR 88 sebagai klon durian pilihan terbaik bagi penggemar durian,” katanya.


DURIAN MDUR88.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 2:38 PM