ANTARA PKD yang diusahakan murid.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengadakan Program Kebun Dapur (PKD) dengan membangunkan laman edibel sebagai modul praktikal untuk murid di negara ini.

Ia dapat membentuk minat generasi muda itu berkenaan dunia pertanian khususnya penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan herba.

Projek ini membabitkan 16 sekolah angkat di Lembah Klang dan Selangor yang akan menjalani PKD sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, kurangnya pengetahuan dan amalan praktikal berkenaan penanaman antara punca generasi masa kini tidak menghargai makanan.

Beliau berkata, perkara itu menyumbang kepada isu pembaziran makanan di negara ini.


MOHAMAD Roff melakukan gimik menanam pokok.

“Melalui pembelajaran ini, murid akan lebih memahami pelbagai aspek termasuk usaha pengeluaran makanan dan belajar menghargai makanan.

“Bagi melengkapi modul berkenaan, PKD ini turut membabitkan MYSaveFood untuk membantu meningkatkan kesedaran murid berkenaan isu pembaziran makanan.

“MYSaveFood adalah kempen bagi meningkatkan kesedaran dalam usaha mengurangkan kehilangan dan pembaziran makanan di Malaysia.

“Murid terbabit didedahkan berkenaan pengajaran ringkas untuk menghasilkan baja kompos berasaskan bahan buangan dapur yang boleh diguna semula bagi menyuburkan tanaman di laman edibel yang dibangunkan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran PKD Sekolah Kebangsaan (SK) Tropicana di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie dan Guru Besar SK Tropicana, Guok Soon Leng.

Mohamad Roff berkata, murid juga turut diperkenalkan dengan amalan pemakanan sihat dan mengikut kalori melalui tip ‘suku-suku separuh’ daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


MOHAMAD Roff (tiga dari kanan) dan Paul (kanan) melihat PKD SK Tropicana.

“Tip ini mendidik murid untuk mengambil makanan yang mencukupi untuk dimakan selari dengan panduan daripada MYSaveFood.

“Bukan itu saja, PKD juga turut mengetengahkan teknologi penghasilan madu kelulut daripada MARDI.

“Melalui program ini, murid terbabit mempelajari jenis lebah kelulut dan peranan penting sebagai ejen pendebungaan serta hubung kaitnya dalam ekosistem,” katanya.

Menurutnya, PKD yang pertama ini diadakan sempena sambutan Hari Bumi Sedunia selari dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran manusia terhadap kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Kita mendidik murid untuk menghargai makanan melalui aktiviti mengeluarkan makanan sendiri menggunakan teknologi penanaman yang mudah dan pengetahuan berkenaan cara pemakanan sihat.

“Ia dijangka berupaya membentuk amalan kehidupan sihat bagi generasi akan datang sekali gus dapat mendidik mereka tidak membazir makanan,” katanya.


BERSAMA sebahagian murid SK Tropicana menanam pokok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 12:34 PM