PESERTA menggunakan jala untuk menangkap ikan.
Rafi Mamat
rencana@hmetro.com.my

Kemahiran dimiliki 1,500 peserta menangkap ikan menggunakan jala terbukti apabila lebih 30 tan berjaya ditangkap pada Pesta Menuai Ikan di Estet Ikan Kampung Paya Chempaka, Lanchang, Pahang, baru-baru ini.

Menceriakan lagi acara diadakan dua tahun sekali itu tanpa dikenakan bayaran ialah dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut melepaskan itik untuk ditangkap orang ramai.

Keterujaan orang ramai menyertai pesta terbesar di Pahang itu terbukti apabila terdapat dalam kalangan mereka yang mendirikan khemah dan bermalam di tepi kawasan paya seluas 16 hektar itu.

Majlis pelepasan acara menangkap ikan bermula jam 8 pagi itu disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan (DOF), Tan Geik Hong.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Azahari Othman dan pengerusi projek estet ikan Kampung Paya Chempaka, Ishak Muhammad.

Azahari berkata, pesta itu dianjurkan jawatankuasa estet ikan Kampung Paya Chempaka dengan kerjasama Jabatan Perikanan Pahang dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang.

Katanya, keghairahan untuk menangkap pelbagai spesies ikan seperti patin, lee koh, kap rumput, keli afrika, tilapia dan rohu dapat dilihat apabila ada peserta yang mengambil keputusan bermalam di kawasan paya.


PESERTA teruja menangkap ikan.

“Walaupun terpaksa berjalan sejauh satu kilometer (km) untuk sampai ke kawasan paya terbabit, itu tidak mematahkan semangat mereka yang memburu ikan pelbagai saiz menggunakan jala dan sauk.

“Lebih mencabar lagi apabila lebih 13 peserta menerima rawatan termasuk dikejarkan ke klinik berhampiran selepas terkena sengatan ikan patin.

“Pesta menangkap ikan di estet ikan kampung Paya Chempaka diadakan setiap dua hingga tiga tahun sekali, setiap kali acara itu diadakan sambutan begitu menggalakkan,” katanya.

Azahari berkata, peserta tidak dikenakan sebarang bayaran dan faktor terbabit menyebabkan jumlah peserta meningkat dua hingga tiga kali ganda dan pihaknya akan terus menyumbangkan benih ikan kepada jawatankuasa estet terbabit pada masa akan datang.

Sementara itu, peserta Azmi Ibrahim, 47, berkata, dia berjaya menangkap ikan pelbagai spesies seberat 150 kilogram (kg) pada pesta berkenaan yang dianggap berbaloi dan menguntungkan.

Katanya, dia bersama dua rakan menggunakan dua jala untuk menangkap ikan bermula jam 9.00 pagi, jumlah ikan yang banyak menambahkan lagi semangat mereka walaupun terpaksa berpanas.

“Memang seronok dapat bersama-sama memeriahkan pesta menuai ikan ini, ia adalah kali kedua saya menyertai program itu. Saiz ikan yang besar menambahkan semangat berada dalam paya itu.

“Saya bersyukur berjaya membawa pulang hasil yang begitu lumayan dan menguntungkan, kami akan terus menyertainya acara itu pada masa akan datang,” katanya yang menetap di Mentakab.

Bagi Zazali Ab Rahim, 51, yang menetap di FELDA Sungai Retang, Jerantut berkata, dia sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menangkap ikan yang terdapat dalam paya Chempaka.

“Walaupun hanya berjaya menangkap lebih 20 kilogram (kg) ikan kap rumput, patin, lee koh namun saya tetap berpuas hati apabila usaha yang dilakukan beberapa jam dianggap berbaloi.

“Selain kemeriahan menangkap ikan program itu juga memberi peluang kepada peserta bertemu rakan dan peminat ikan paya di daerah ini,” katanya yang kali kedua menyertai program itu.


PESERTA menunjukkan pelbagai jenis ikan yang ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 7:31 AM