PRODUK bijirin bayi dikenali sebagai Cerelac.
PETANI, Mohd Hashim Yusoff menunjukkan hasil padi menggunakan kaedah SARI.
YONG (kiri) beramah mesra dengan petani yang juga ahli NPC.
REJAB melihat pokok padi di kawasannya.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Kelab Padi Nestle (NPC) adalah inisiatif kontrak pertanian yang dilancarkan secara rasmi pada Februari 2012 antara Nestle (Malaysia) Berhad bersama petani di Kedah menggunakan kaedah penanaman inovatif, mampan dan mesra alam.

Ia bagi menghasilkan beras berkualiti yang dijadikan produk bijirin bayi dikenali sebagai Cerelac.

Setakat ini, program NPC berjaya menarik penyertaan 290 petani membabitkan keluasan tanah 800 hektar dengan rekod pengeluaran padi mencecah 9,000 tan metrik setahun.

Ia bagi menghasilkan beras berkualiti yang dijadikan produk bijirin bayi dikenali sebagai Cerelac.

Setakat ini, program NPC berjaya menarik penyertaan 290 petani membabitkan keluasan tanah 800 hektar dengan rekod pengeluaran padi mencecah 9,000 tan metrik setahun.

Ketua Perkhidmatan Pertanian Nestle, Yong Lee Keng berkata, penubuhan NPC sebagai satu inisiatif perladangan kontrak yang bertujuan meningkatkan produktiviti dan menurunkan kos pengeluaran.

“Malah, ia mengurangkan kesan alam sekitar dan meningkatkan keseluruhan aspek keselamatan pertanian di ladang kontrak padi Nestle di negeri ini.

“Kami turut mengkomersialkan sepenuhnya kaedah penanaman padi separa aerobik (SARI). Ia penting bagi menjaga kualiti beras dan menepati keperluan badan piawaian makanan di seluruh dunia.

“SARI juga mengurangkan kesan alam sekitar dan menunjukkan daya maju ekonomi serta kelebihan agronomi untuk penanaman padi,” katanya ketika ditemui sempena program Nestle bersama petani di Kedah, baru-baru ini.

Yong berkata, dua ciri-ciri utama kaedah SARI adalah penjimatan penggunaan air dan penggunaan bakteria mikro (mikrob) bagi menjana penumbuhan padi.

“Dalam hal ini, air dikeluarkan ketika padi berusia 45 hingga 50 hari iaitu kira-kira satu setengah bulan lebih awal berbanding kaedah biasa.

“Air boleh dikurangkan sebanyak 40 peratus dan sebelum menuai, sawah dikeringkan selain penggunaan mikrob, padi tetap subur.

“Kaedah berkenaan dapat mengoptimum penggunaan baja kimia dan mengawal makhluk perosak. Beras menggunakan kaedah SARI itu dijadikan bahan mentah menghasilkan produk dan bahan makanan bijirin bayi,” katanya.

Menurutnya, Nestle turut membawa pakar dalam bidang nutrisi, industri halal dan keselamatan makanan bagi memberi pendedahan dan meningkatkan kefahaman petani terhadap komitmen mereka dalam menghasilkan produk yang baik kepada masyarakat.

“Kami turut membekalkan ahli NPC cecair organik dipanggil Agri-Organica (AO). Ia adalah enzim mikrob yang dihasilkan menggunakan teknologi pertanian dari Jepun.

“Menyembur AO pada hari ditetapkan dalam jadual kemudian mereka juga wajib menjual padi ke kilang yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden NPC Mukim Kerpan, Kedah, Sabri Nayan berkata, menerusi projek latihan dianjurkan Nestle, ahli kelab berjaya menangani beberapa isu seperti penyakit tanaman yang mengurangkan produktiviti padi.

“NPC juga berhenti menggunakan racun perosak yang tidak mempunyai persijilan selain mengitar semula bahan dan mengurangkan penggunaan air di sawah petani.

“Sebelum ini kami menyembur racun perosak mengikut kalendar. Sekarang kami melakukan semburan racun mengikut keperluan. Maknanya, kalau pokok tiada masalah kami tidak akan sembur,” katanya.

Seorang petani yang juga ahli NPC, Rejab Lebai Lakin, 76, dari Mukim Sanglang, Kubang Pasu, berkata, menanam padi memerlukan ketekunan, disiplin, ikut garis panduan dan nasihat yang diberikan pihak Nestle bagi menjamin pulangan hasil.

“Selain itu, petani yang mempunyai masalah dengan penanaman padi sama ada penyakit atau serangan serangga perosak berlebihan perlu melaporkan kepada pihak NPC.

“Ini kerana pemakanan bayi tidak boleh dipandang ringan kerana tumbesaran kanak-kanak berkait rapat dengan pengambilan makanan seimbang bersesuaian dengan setiap peringkat usia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 12:01 PM