SEBAHAGIAN wakil media bergambar kenangan.
ROMBONGAN media dibawa melihat sayur-sayuran di MARDI Cameron Highlands.
HM Digital

Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menganjurkan Program Road to Agrotourism ke zon tengah tanah air.

Pelancongan agro adalah subsektor pelancongan berteraskan aktiviti pertanian merangkumi empat cabang utama iaitu pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani (IAT).

Timbalan Ketua Pengarah MARDI, Dr Kamariah Long berkata, fokus negara kepada pembangunan aktiviti pertanian membuka lembaran baru kepada sektor pelancongan khususnya aktiviti pelancongan agro.

“Aktiviti ini menyediakan peluang pekerjaan di samping menambah pendapatan petani dan penduduk luar bandar. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam pelancongan agro ialah lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang ternakan, pusat pertanian dan penyelidikan, inap desa dan sebagainya.

“Pelancongan agro adalah bentuk pelancongan yang memanfaatkan budaya luar bandar sebagai tarikan pelancong. Konsep pelancongan agro ini sudah lama diperkenalkan di seluruh dunia dan kini mendapat tempat di hati pelancong dari dalam serta luar negara.

“Di Malaysia, pelancongan agro ini dilihat sangat berpotensi untuk menarik pelancong luar,” katanya ketika berucap merasmikan Program Road to Agrotourism Siri II dan majlis pelepasan konvoi di Ibu Pejabat MARDI, Serdang, baru-baru ini. Turut hadir, Presiden MTC, Uzaidi Udanis.

Kamariah berkata, menurut sumber Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), jumlah pelancong ke pusat pelancongan agro diunjurkan meningkat daripada 1.5 juta pada 2010 kepada enam juta pelancong pada 2020.

“Selain itu, pelancongan agro juga dapat membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar. Aktiviti seperti penjualan produk tempatan, pembukaan restoran dan pembinaan chalet dan inap desa dilihat dapat menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat tempatan.

“Selain itu, pelancongan agro juga memberi manfaat positif dalam menangani masalah pengangguran dan penghijrahan dari luar bandar kerana generasi muda mempunyai peluang untuk menjana pendapatan tanpa perlu berhijrah ke bandar yang lebih besar.

“Chalet dan inap desa contohnya pasti memerlukan ramai pekerja tempatan dalam operasi sehariannya. Penghasilan barangan kraf tangan pula membuka ruang kepada suri rumah untuk menambah pendapatan,” katanya.

Menurutnya, pada tahun 2015, sumbangan industri pelancongan meningkat sebanyak 117 peratus dan menyumbangkan pendapatan sebanyak RM115 bilion serta menyediakan dua juta peluang pekerjaan.

Sementara itu, Uzaidi berkata, Road to Agrotourism ialah program untuk mempromosikan destinasi pelancongan agro domestik di seluruh negara.

Beliau berkata, kali ini peserta media mengunjungi ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di MARDI Kuala Kangsar, Perak dan Cameron Highlands, Pahang.

“Perkembangan positif ini menandakan matlamat program itu berjaya dicapai dalam membantu pengusaha pelancongan agro meningkatkan perniagaan mereka.

“Beberapa destinasi sebelum ini tidak lagi menjadi lokasi ‘rahsia’ selepas mendapat liputan meluas media. Ramai tertarik berkunjung ke destinasi terbabit.

“Justeru, kita akan teruskan program itu di seluruh negara menerusi siri seterusnya,” katanya.

Menurutnya, selain mempromosikan hasil perladangan, matlamat program itu turut mengetengahkan lokasi penempatan, makanan daerah, kraf tangan, kebudayaan dan kesenian komuniti setempat.

“Kelainan program kali ini turut menampilkan konsep pengembaraan menaiki caravan menjelajah ke destinasi pelancongan agro,” katanya. - Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:29 PM