ZAKARIA (dua dari kiri) melancarkan dua baja berkenaan.
PEKERJA sedang menyusun baja yang siap diproses.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) menerusi anak syarikatnya, FPM Sendirian Berhad (FPM) menghasilkan dua baja formula khas iaitu MPOB F2 dan MPOB F2 Super K.

Ia bagi menyokong pertumbuhan pokok sawit, mengekalkan nutrien dan menambah baik keberkesanan serapan air serta kualiti tanah untuk jangka masa panjang.

Baja berkualiti MPOB F2 dan MPOB F2 Super K menawarkan nutrien lebih seimbang sekali gus membantu pekebun kecil meningkatkan hasil dan pendapatan mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Zakaria Arshad berkata, menerusi kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di bawah Pelesenan Formula Baja, sasaran FPM untuk memasarkan produk ini kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara.

“Ketika ini hampir 40 peratus daripada keseluruhan 5.74 juta hektar ladang sawit di negara ini diuruskan pekebun kecil.

“Baja berkenaan dihasilkan FPM menerusi kawalan kualiti yang ketat menggunakan mineral berkualiti tinggi diimport dari Kanada, Russia, Jerman dan Jepun,” katanya selepas melancarkan baja berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pembangunan MPOB Dr Ramlee Moslim dan Ketua Pegawai Eksekutif FPM Samsuddin Yasir.

Zakaria berkata, FPM menyasarkan jualan 30,000 metrik tan baja F2 dalam tempoh lima tahun.

“Berdasarkan kualiti premium yang dari baja F2 ini, FPM menjangkakan jualan baja berkenaan terus meningkat setiap tahun dengan potensi eksport khususnya ke Indonesia.

“MPOB F2 sangat sesuai untuk penanaman sawit di semua jenis tanah sementara MPOB F2 Super K pula sesuai untuk ladang tanah jenis gambut.

Dianggarkan kira-kira 2.6 juta hektar ladang sawit di negara ini ditanam di tanah gambut,” katanya.

FPM adalah pengimport dan pembuat baja utama dan beroperasi di Pasir Gudang, Johor; Kuantan, Pahang; Klang, Selangor dan Lahad Datu, Sabah dengan kapasiti pengeluaran 850,000 tan setahun.

Selain itu, FPM juga membekalkan baja untuk ladang getah, nanas dan padi.

Menerusi kapasiti, prestasi dan kepakaran yang dimiliki FPM, ia meletakkan syarikat ini di kedudukan baik untuk meneroka peluang perniagaan dalam industri baja dan kimia di Malaysia serta peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 1:00 PM