MOHD Zulkurnain (dua dari kiri), Dr Ahmad Fadzil (dua dari kanan) dan Rogayah (kanan) pada majlis pelancaran.
PENYELIDIK SIRIM memasukkan sisa makanan ke dalam sistem pencernaan anaerobik.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Projek mewujudkan industri pembungkusan Green-Blue (GB) sebagai langkah memperkasa industri berkenaan melalui rantaian nilai industri pembungkusan GB.

Ia melangkah setapak lagi melalui pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik.

Pembungkusan GB adalah teknologi pembungkusan inovatif yang menggabungkan konsep biodegradasi dan pembaik pulih sumber bagi menyokong kelestarian alam sekitar serta perniagaan.

Di bawah projek Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) itu, Medan Selera USJ 7, Subang Jaya, Selangor menjadi tapak rintis premis makanan hijau yang ketiga dilancarkan.

Projek berkenaan selepas pelancaran Medan Ikan Bakar Kampung Gelam, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Medan Selera Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka.

Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) juga dilantik KeTTHA sebagai agensi pelaksana bagi projek ini.

Ia membabitkan pembangunan kemahiran dan pengalaman untuk melanjutkan perkhidmatan dan kepakaran berkaitan pembungkusan GB kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menceburi industri ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, dua projek yang sudah dilancarkan sebelum ini berjalan dengan baik.

“SIRIM menyediakan sebanyak dua juta unit sampel pembungkusan GB kepada peniaga di premis makanan hijau yang dilancarkan di Port Dickson, Melaka dan USJ.

“Di bawah inisiatif ini juga, sistem pencernaan anaerobik turut diperkenalkan di premis makanan hijau yang akan merawat pembungkusan GB bersama sisa makanan.

“Ia untuk menghasilkan biogas dan biobaja sebagai pendekatan pembaik pulih sumber dan seterusnya mengurangkan pelepasan gas hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tapak Rintis Premis Makanan Hijau dan Sistem Pencernaan Anaerobik di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali. Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan Sektor Teknologi Hijau KeTTHA Rogayah Kadari.

Ahmad Fadzil berkata, sistem anaerobik yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Port Dickson sudah menerima sekitar 100 sehingga 200 kilogram (kg) sisa makanan setiap hari dari hotel berdekatan dan beroperasi dengan kapasiti maksimum iaitu 500kg sehari akhir tahun lalu.

“Sementara sistem anaerobik yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Melaka pula masih di peringkat ujian untuk menguji keupayaan sistem yang dilaksanakan.

“Bagi tujuan pensijilan Pelabelan Eko Premis Makanan Mesra Alam, sebanyak 65 gerai peniaga di medan selera terpilih akan menerima khidmat perundingan sebagai persediaan awal sebelum pengauditan oleh badan pensijilan SIRIM QAS International,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 20 pengusaha premis makanan dari Medan Selera Awam USJ 7 dibekalkan dengan bekas pembungkusan makanan GB, bahan pencuci mesra alam yang menerima pensijilan pelabelan eko dan sistem pencernaan anaerobik sebagai sistem pengolahan sisa makanan yang berasaskan konsep pembaik pulih sumber untuk tempoh rintis ini.

Biogas yang terjana daripada sisa makanan yang sudah dirawat di Medan Selera Awam USJ 7 ini, akan ditukar kepada tenaga elektrik untuk kegunaan setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 12:36 PM