RYAN menunjukkan teras gaharu.
Fatin Farhana Japre
rencana@hmetro.com.my


Pengusaha gaharu di negara kita boleh dibilang dengan jari kerana tidak ramai yang berani mengambil risiko walaupun diketahui hasilnya mampu memberi pulangan lumayan.

Hakikatnya, tidak sabar menuai hasil adalah punca utama kebanyakan orang kita tidak berani menceburi projek itu.

Namun, pemilik Mayldha Gaharu, Ryan Abu Bakar yang berpangkalan di Kampung Tambak Paya, Melaka berjaya membuktikan setiap kesabaran pasti membuahkan hasil lumayan.

Selepas setahun dua bulan, Ryan Abu Bakar, 59, atau lebih mesra disapa Pak Ryan boleh tersenyum lebar menikmati hasil teras gaharu dengan menjadikannya pelbagai jenis produk.

Pak Ryan yang dibantu ahli keluarganya bekerjasama menghasilkan produk berasaskan teras dan kayu minyak gaharu untuk dipasarkan ke seluruh negara.


PROSES mendapatkan teras gaharu.

Sebelum ini, Pak Ryan terlebih dahulu menuai daun pokok gaharu sebagai teh dan kopi selepas setahun menanam pokok itu.

Sekarang ini, giliran teras dan kayu minyak gaharu pula dituai dan diproses untuk mengeluarkan produk air suling, minyak wangi, sabun, syampu, losen, teh dan kopi.

Menurut Pengarah Perladangan Mayldha Gaharu Ariffin Mat Noor, proses pertama untuk mendapatkan teras dan kayu minyak gaharu adalah menebang dan meracik kayu minyak hingga nampak teras di bahagian dalam batang pokok gaharu.

“Kami memanggil proses ini ‘mencuci’ kerana perlu mengikis kayu minyak secara manual untuk mendapatkan teras di bahagian tengah. Jika bernasib baik, kami menemui teras yang mempunyai reka bentuk luar biasa nilainya boleh mencecah RM4,300 hingga RM5,800 sekilogram.

“Bagi tuaian kali pertama ini, kami menebang lima batang pokok gred B jenis Mallacencis dan Subintegra untuk dijadikan sampel contoh kepada pengusaha gaharu lain,” katanya.


ARIFFIN menunjukkan proses Inokulan bagi mendapatkan teras gaharu.

Proses seterusnya, kayu minyak yang dikikis tadi dimasukkan ke dalam mesin untuk dikisar dan terus dimasak di atas dapur khas selama tujuh hari.

“Kayu minyak yang dihancurkan tadi dimasak bagi proses pengasingan minyak gaharu dan air suling. Proses ini akan berjalan tanpa henti selama 24 jam hingga tujuh hari.

“Selepas selesai proses pengasingan, serbuk kayu gaharu akan ditapis dengan air dan dijemur untuk dijadikan setanggi atau dijual dengan harga RM1,800 sekilogram.

“Sebatang pokok gaharu boleh menghasilkan 10 kilogram (kg) serbuk kayu minyak dan 48 mililiter (ml) minyak pati gaharu,” kata Norul Rasyidi Muhammad Nasardin merangkap pengarah pengeluaran Mayldha Gaharu itu.


NORUL Rasyidi menunjukkan proses membuat air suling.

Kata Norul Rasyidi, minyak wangi gaharu dihasilkan menggunakan pati minyak gaharu yang sudah diasingkan tadi.

“Campuran minyak wangi gaharu diproses sendiri dengan setitik pati gaharu saja sementara harumannya kekal lebih 20 jam sehari.

“Mengikut harga pasaran, minyak wangi gaharu dijual RM100 untuk 1ml. Selain menghasilkan minyak wangi, setitik pati gaharu juga boleh dijadikan makanan tambahan.

“Namun pembeli diminta berhati-hati kerana wujud pati minyak gaharu beracun dan bagi memastikan ia tidak beracun, pati minyak yang dijual tidak berbau hangit. Sementara air suling yang diasingkan daripada pati minyak gaharu itu bermanfaat menghindarkan penyakit kanser, gout, alahan gatal dan paling berkesan merawat resdung,” katanya.


RYAN menunjukkan pati teras minyak gaharu.

Selain minyak wangi, Mayldha Gaharu turut menghasilkan beberapa produk lain yang dikendalikan sepenuhnya isteri Pak Ryan iaitu Eddith Maylody Mansor merangkap pengarah projek kosmetik.

Menurut Eddith Maylody, dia bertanggungjawab menghasilkan produk sabun, lulur, minyak urut, syampu, losen dan banyak lagi produk berasaskan pati minyak gaharu.

“Bagi proses membuat sabun, saya mencampurkan pati minyak gaharu, sabun dan bahan pepejal yang mengandungi minyak kelapa dara untuk dimasak selama beberapa minit di dalam ketuhar gelombang mikro atau periuk selama 15 minit.

“Kemudian, proses pembekuan memakan masa enam jam dan sudah sedia untuk proses pembungkusan. Adunan sebanyak 10kg ini boleh menghasilkan 200 buku sabun dan khasiatnya mampu menghindarkan pertumbuhan jerawat, jeragat dan melicinkan kulit muka.


NORUL Rasyidi menunjukkan Bakhoor Pen yang mengeluarkan aroma daripada serbuk teras gaharu.

“Sementara proses menghasilkan teh dan kopi pula berasaskan 100 peratus daun gaharu tanpa campuran bahan kimia. Bagi proses ini, saya memetik daun gaharu dan menghancurkannya hingga menjadi serbuk sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar panas untuk dikeringkan serta membunuh bakteria,” katanya.

Katanya, proses menghasilkan kopi juga sama cuma mereka menambah kopi luak yang diimport dari Indonesia. Kopi dan teh gaharu membantu merendahkan tahap kolesterol, mengurangkan toksik dalam badan, masalah pelawasan atau masalah insomnia.

“Semua produk dihasilkan menggunakan bahan utama iaitu pati minyak gaharu,” katanya.


ANTARA produk keluaran Mayldha Gaharu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 10:11 AM