SURAYA (kanan) dan Saw (kiri) menunjukkan durian yang boleh dinikmati pengunjung.
Azahar Hashim
rencana@hmetro.com.my

Berkonsepkan agro- pelancongan, ladang Nictron Agriculturae Sdn Bhd di Sungai Kechil Ilir yang terletak di Bandar Baharu, Kedah, mencipta kelainan dengan membawa pengunjung menikmati kelazatan durian terus dari ladang.

Sambil menikmati raja buah di atas bukit pada ketinggian 365 meter dari paras laut, pengunjung juga dapat melihat pemandangan indah saat matahari terbenam.

Tentunya pengunjung berpeluang merasai keenakan durian berkualiti antaranya durian kampung, duri hitam, musang king, kunyit, XO, D24, udang merah dan pelbagai lagi yang dibawa segar dari ladang seluas 70 hektar itu.

Pemiliknya, Patrick Saw berkata, sebanyak 30 jenis durian berjaya ditanam dan dihasilkan di ladangnya membabitkan lebih 3,000 pokok.

“Di dusun kami ada 30 jenis durian yang ditanam melalui kaedah cantuman dan benih pokok bagi menghasilkan buah yang berkualiti.

“Jika pengunjung datang ke sini mereka boleh menikmati semua jenis durian yang diinginkan dan makan sepuasnya hanya dengan bayaran RM135 seorang.

“Syarikat kini dalam usaha menghasilkan pelbagai jenis produk hiliran untuk dijual kepada pelanggan dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Saw, syarikat itu memiliki sebuah kilang di Kuala Ketil dan di Kuala Lumpur untuk menghasilkan produk berasaskan durian iaitu lempuk dan aiskrim dengan jenama Aroy (bahasa Thai bermaksud sedap).


AISkrim durian juga boleh dinikmati.

“Aiskrim kami diperbuat daripada durian gred premium dan hanya boleh didapati di dusun ini, selain yang dieksport terutama ke China pada harga jualan antara RM10 hingga RM15 bagi setiap 100ml ais krim di sana.

“Lempuk dan aiskrim ini baru kami hasilkan dan membuat promosi ketika mengikuti pameran agensi kerajaan di China pada Oktober lalu.

“Lempuk ini mendapat permintaan tinggi dan dieksport ke luar negara seperti Hong Kong, China, Taiwan dan negara Eropah lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ingin mengembangkan perusahaan buah tempatan seperti pulasan, cempedak dan pisang untuk tarikan pelancong.

Katanya, pihaknya kini mempunyai rancangan akan menanam pokok pulasan dan buah tempatan lain untuk pengunjung, secara tidak langsung mempromosikan buah ini kepada pengunjung luar negara terutama dari China, Jerman dan Taiwan,” katanya.

Saw berkata, selain itu, pihaknya juga dapat membantu pekebun kecil di kawasan ini apabila hasil tanaman mereka dapat dibeli di syarikatnya dengan harga yang berpatutan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Kedah Datuk Suraya Yaacob berkata, melalui industri agro atau ekopelancongan pengusaha dusun dapat mempelbagai hasil dusun mereka.

Katanya, melalui agro pelancongan ini orang ramai dapat merasai pengalaman berada di dusun dengan melihat sendiri pokok sambil menikmati buah-buahan segar.

“Kebiasaan kita lihat orang ramai makan buah terutama durian di gerai tepi jalan, namun jika berkunjung ke dusun orang ramai dapat melihat sendiri cara pengusaha ladang menjalankan tugas mereka di dusun.

“Kita mahu Kedah terkenal dengan buah-buahan seperti durian yang mendapat permintaan tinggi contohnya duri hitam, musang king dan lain-lain yang berasal dari dusun di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, kewujudan dua ladang berkonsepkan agropelancongan iaitu Ladang Nictron Sdn Bhd di Sungai Kechil Ilir dan Ladang Serena Orchad, di Permatang Kerat Telunjuk mampu menjadikan daerah ini hab agro pelancongan buah-buahan tempatan khususnya durian.

“Kita sangat berbangga ada inisiatif orang Bandar Baharu mengusahakan ladang buah-buahan tempatan terutama durian yang kini mendapat permintaan dari seluruh dunia selain mempunyai nilai komersial dan harga yang tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 9:59 AM