SIJIL Pengesahan Halal dan produk herba yang dikeluarkan FRIM.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Pusat Teknologi Herba (HTC) Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mendapat pengiktirafan apabila menerima Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) pada Disember lalu, sekali gus diperakui berkualiti, bersih dan halal.

HTC FRIM yang dibangunkan sejak 2005 menerima SPHM membabitkan enam ekstrak herba yang dihasilkan iaitu tongkat ali, kacip fatimah, patawali, asam gelugor, misai kucing dan hempedu bumi.

Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod berkata, beliau berharap pengiktirafan ini dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan pengguna termasuk pihak industri terhadap kemampuan serta produk hasilan FRIM.

Beliau berkata, pencapaian ini selaras dengan usaha transformasi FRIM menghasilkan dan mengkomersialkan produk serta teknologi hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) di peringkat tempatan atau global.


MESIN pengadun.

“HTC ditubuhkan untuk menjalankan tiga fungsi utama termasuk aktiviti R&D teknologi pemprosesan herba dan pembangunan produk, memberikan perkhidmatan teknikal kepada pengusaha herba dan latihan teknikal kepada pengusaha herba serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

“Pusat ini juga menawarkan perkhidmatan pendaftaran produk tradisional kepada pengusaha herba sejak tahun 2015. Perkhidmatan ini ditawarkan kerana ramai pengusaha menghadapi kesukaran dalam urusan pendaftaran produk secara dalam talian dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Daripada 16 produk yang dipohon untuk didaftarkan, 13 produk berjaya sementara tiga lagi dalam proses pendaftaran. Tempoh yang diambil NPRA untuk meluluskan satu produk kira-kira lapan bulan atau lebih,” katanya.

Menurutnya, HTC berperanan untuk memberikan perkhidmatan memproses herba khususnya kepada pengusaha yang belum ada fasiliti pemprosesan.


MENGISI produk ke dalam botol.

“Setakat ini, sebanyak 132 organisasi membabitkan syarikat atau individu sudah mendapatkan perkhidmatan HTC sejak 2006 hingga kini. Sejumlah RM860,238 pendapatan diperoleh FRIM dengan purata lebih kurang RM6,500 bagi satu organisasi.

“HTC menjadi pilihan utama pengusaha herba untuk mendapatkan perkhidmatan memproses herba atas beberapa kelebihan tertentu berbanding syarikat lain.

“Ia termasuk integriti sebagai sebuah agensi kerajaan yang dapat menjaga hak intelek produk pelanggan, fasiliti Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang diiktiraf NPRA, perkhidmatan nilai tambah dengan khidmat nasihat, lokasi strategik mudah diakses dan caj perkhidmatan yang berpatutan.

“Penubuhan HTC selaras dengan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk memperkasa industri herba sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” katanya.

Katanya, dalam pada itu, FRIM melalui perkhidmatan dan latihan di HTC akan terus menyumbang kepada pengeluaran produk herba yang berkualiti tinggi serta berdaya saing di pasaran dalam mahupun luar negara.


SEBAHAGIAN staf FRIM yang bertugas di HTC.

“Pengilangan produk siap dalam bentuk kapsul dan tablet untuk pengusaha dipergiatkan sejak HTC dianugerahkan lesen pengilang daripada NPRA pada tahun 2012.

“Sumber pendapatan baru ini menambahkan pendapatan tahunan HTC. Sehingga kini, sebanyak 16 syarikat sudah melantik HTC sebagai pengilang kontrak untuk menghasilkan 25 jenis produk tradisional berbentuk kapsul.

“Berdasarkan harga jualan, anggaran nilai produk yang dihasilkan di HTC untuk syarikat terbabit bagi 2016 dan tahun lalu membabitkan nilai kira-kira RM3 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 9:56 AM