STEVIA berbatang lembut, daun berbentuk halus dan bergerutu serta mengeluarkan bunga kecil berwarna putih.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Stevia adalah sejenis herba berasal dari Paraguay dan digunakan kaum Red Indian sejak zaman dahulu. Penggunaannya dikatakan mampu membantu meningkatkan kesihatan dan kemudian tersebar di luar Amerika Selatan berikutan penemuan oleh ahli botani, Antonio Bertoni pada 1887.

Penemuan itu secara tidak langsung menggalakkan pengguna bertukar ke arah penggunaan gula tanpa kalori bagi mengurangkan beban penyakit terutama mereka yang sukar mengawal pengambilan gula.

Komponen pemanis utama dalam daun stevia juga dikatakan mempunyai kesan antioksidan, antimikrob dan antikulat.

Antara negara yang mengusahakan tanaman stevia secara komersial termasuk Brazil, Paraguay, Kanada, Australia, Jepun, China, India, Taiwan, Korea dan Thailand.

Keunikan stevia yang menawarkan kemanisan tanpa kalori membolehkan banyak pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) mengembangkan industri berkaitan herba manis itu.

Di pasaran tempatan terdapat banyak produk yang dijual dalam bentuk larutan stevia.

Larutan stevia dititiskan ke dalam air minuman dalam dos tertentu sebelum dikacau. Rasa manis minuman akan dirasai lambat sedikit kerana kelarutan stevia dalam air adalah sangat perlahan.

Stevia yang diluluskan dalam Akta Makanan untuk dijadikan sebagai pemanis dan pengganti gula pasir adalah ekstrak stevia.

Kemanisan yang terhasil daripada daun stevia ini adalah 200 hingga 300 kali lebih manis berbanding gula tebu.

Namun demikian, ia tidak mengandungi kalori, karbohidrat, lemak dan kolesterol.


MOHD Shah Farin menunjukkan demonstrasi penggunaan larutan stevia.

Menyedari daun stevia mempunyai ciri yang lebih baik berbanding pemanis lain, di samping berpotensi menjadi sumber utama sebagai pemanis untuk pasaran makanan semula jadi yang semakin meningkat, Global Trade Supplier Sdn Bhd memperkenalkan larutan stevia, Farin Stevia Leaf sebagai alternatif pengganti gula lebih sihat.

Pengarah Urusannya, Mohd Shah Farin Wahaiyan berkata, stevia yang lazim digunakan sebagai pemanis gula semula jadi adalah Stevia rebaudiana, namun produk keluaran pihaknya berlainan berikutan ia dirumus khas dengan campuran tiga jenis daun stevia iaitu Reb Stevia, Alpha Stevia dan SG Stevia.

“Setiap jenis stevia digunakan mempunyai khasiat tersendiri dan bukan saja boleh digunakan dalam minuman, malah ditambah dalam masakan.

“Terpanggil dengan situasi ini, saya mahu berkongsi kepada masyarakat berkenaan kebaikan keluaran kami.

“Reb Stevia atau Rebaudioside A terbentuk dalam tumbuhan Stevia rebaudiana Bertoni dan dalam bentuk yang diekstrak serta ditulenkan kira-kira 300 kali lebih manis daripada gula. Ia mempunyai rasa yang manis sama seperti gula dan kalori. Rebaudioside A 97 menawarkan kemanisan secara semula jadi dengan pengurangan kalori.

“Alpha Stevia adalah gabungan steviol glikosida bersama tumbuhan Stevia rebaudiana Bertoni. Profil rasa dioptimumkan untuk mengeluarkan pemanis stevia berdasarkan produk tanpa gula tambahan atau lebih 50 peratus pengurangan kalori.

“Malah, Alpha Stevia juga 250 hingga 350 kali lebih manis dari gula bergantung kepada dos dan jenis kegunaan,” katanya pada majlis pelancaran di ibu negara, baru-baru ini.

Bagi AG Stevia pula, Mohd Shah Farin berkata, Steviol Glycosides 95 adalah campuran steviol glikosida daripada Stevia rebaudiana Bertoni dalam bentuk yang diekstrak dan ditulenkan mempunyai kira-kira 200 kali lebih kemanisan daripada gula serta tidak mempunyai kalori. Ia sesuai digabungkan bersama gula untuk pengurangan kalori produk makanan dan minuman secara semula jadi.


LARUTAN stevia dengan ekstrak tiga jenis herba manis memberikan manfaat berlainan untuk kesihatan.

“Kami melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama lebih setahun sebelum memasarkan produk stevia ini yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan selain dikelaskan dalam kategori makanan dan minuman.

“Memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), kami memproses sendiri larutan stevia ini yang mempunyai keistimewaan antibasi dalam makanan dan minuman daripada ekstrak stevia yang diimport dari Brazil.

“Kesihatan adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan pihak kami. Sesiapa pun tidak mahu sakit, namun tanpa kita sedar gula dalam makanan dan minuman yang kita ambil setiap hari dalam diam mampu membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 9:52 AM