SEBAHAGIAN penerima geran HIP.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Lebih 200 usahawan menyertai Seminar Industri Asas Tani (IAT) bagi mendapatkan input dan informasi berkenaan hala tuju Program Pembangunan IAT, sekali gus memperluaskan jaringan serta rantaian hubungan perniagaan.

Program anjuran Jabatan Pertanian (DOA) itu turut berkongsi maklumat berkenaan teknologi pemprosesan makanan, Peraturan dan Akta Makanan yang berkaitan serta kaedah pemasaran selain pembungkusan produk masa kini.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan) Datuk Jabar Shaik Mohideen berkata, hingga kini, terdapat 7,175 usahawan IAT yang aktif di bawah bimbingan DOA di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu kebanyakan usahawan berada dalam kategori tahap satu hingga tiga dengan bilangan 6,694 usahawan (93.3 peratus) sementara seramai 481 usahawan (6.7 peratus) pula berada dalam kategori tahap empat hingga lima.


USAHAWAN dari Johor Nur Diana Yusuf (kiri) turut membuka gerai jualan.

“Tahap satu dan tiga adalah usahawan yang mencapai purata nilai jualan tahunan sekitar RM300,000 sementara tahap empat dan lima adalah yang berjaya melepas purata nilai jualan tahunan melebihi RM300,000 serta ada di antaranya sudah pun bergelar jutawan.

“DOA menyasarkan seramai 4,500 usahawan lagi mencapai kejayaan menjelang 2020. Peningkatan juga berlaku dari segi jumlah nilai jualan produk IAT iaitu sebanyak RM1.06 bilion berbanding RM975 juta pada tahun 2015.

“Purata pendapatan bersih sebulan seorang usahawan juga meningkat kepada RM5,300 berbanding RM5,000 pada 2015,” katanya selepas merasmikan majlis penutup seminar IAT di sebuah hotel di Selangor, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian dan IAT DOA Mokhtar Sulai.

Jabar Shaik berkata, eksport produk IAT berasaskan makanan dijangka mencatatkan peningkatan daripada RM17.6 bilion pada 2010 kepada RM53.8 bilion pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 11.8 peratus setahun.

“Dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, sektor pertanian dan IAT mendapat perhatian inklusif dan menyeluruh apabila kerajaan memperuntukkan RM6.5 bilion kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak serta penoreh getah.

“Bajet kali ini begitu komprehensif kerana bukan saja memberi bantuan kepada golongan bawahan, tapi turut memfokus kepada mencipta sumber kekayaan baru dalam industri pertanian,” katanya.



USAHAWAN dari Melaka Shahrom Mohd Salleh bersama pes makanan keluaran syarikatnya, Nyiru Food Industries Sdn Bhd.

Menurutnya, terdapat lima sumber kekayaan baru yang dikenal pasti di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas tani (MOA) iaitu kulinari, jagung bijian, durian, kelapa dan tenusu yang membabitkan peruntukan RM200 juta.

“Bidang kulinari antara sumber kekayaan baru yang bakal diberi fokus oleh MOA pada tahun depan. Seni kulinari membabitkan kursus dalam bidang masakan, penyediaan makanan, pastri dan kek serta aktiviti yang tertumpu di dapur.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020), MOA memperuntukkan RM500,000 untuk Program Pembangunan Usahawan IAT.

“Di bawah program ini, usahawan yang nilai pengeluarannya hingga RM300,000 layak dipertimbangkan untuk geran pemadanan Change Upgrade Product (CUP).

“Sementara itu, bagi usahawan yang nilai pengeluaran tahunan melebihi RM300,000 pula layak memohon geran padanan High Impact Project (HIP),” katanya.


MOKHTAR (kiri) memukul gong sebagai simbolik penutupan seminar IAT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:01 AM