IKAN tuna didaratkan di Pelabuhan Pulau Pinang.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Jabatan Perikanan (DOF) menyasarkan 3,000 tan metrik ikan tuna akan didaratkan di Pelabuhan Pulau Pinang membabitkan nilai RM60 juta pada tahun ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sasaran pendaratan ikan tuna ini mampu dicapai kerana sehingga September lalu, sebanyak 1,100 tan metrik berjaya didaratkan di pelabuhan berkenaan.

Katanya, sasaran pendaratan 3,000 tan metrik adalah tidak mustahil didaratkan dengan usaha kerajaan dan sokongan pelbagai pihak.

“Kerajaan amat menggalakkan pendaratan tuna di pelabuhan yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC).

“Buat masa ini, Malaysia sudah mendaftar dua pelabuhan sebagai pelabuhan khas tuna iaitu Dermaga Air Dalam, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Lembung, Langkawi, Kedah selaras dengan resolusi IOTC.

“Berdasarkan kajian sumber ikan, kerajaan menjangkakan hasil pendaratan ikan tuna negara mencapai 130,000 tan metrik dengan nilai RM1 bilion menjelang 2020 dengan usaha yang berterusan,” katanya selepas majlis pelancaran pendaratan ikan tuna oleh Kapal Kha Yang 333 milik syarikat Kha Yang Marine Sdn Bhd (Kha Yang) di Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Munir Mohd Nawi, Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Hashim Ab Rahman, Pengerusi Penang Port Sdn Bhd Datuk Mohamad Aidid Syed Murtaza dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Datuk Tan Teik Chang.


MOHAMAD Aidid (kanan), Tan (dua dari kanan) , Ahmad Shabery dan Munir (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian.

Pada majlis itu, Ahmad Shabery menyaksikan pendaratan ikan tuna berjumlah 520 tan metrik ikan tuna spesies albacore, yellow fin dan bigeye dengan nilai RM8 juta dari Vessel Carrier milik syarikat Kha Yang.

Menurutnya, pada masa ini, kerajaan meletakkan sasaran untuk mendaratkan 30,000 tan metrik ikan tuna dari Lautan Hindi yang bernilai RM300 juta menerusi pemberian lesen operasi kepada 135 unit vesel tuna menjelang 2020.

“Kementerian melalui DOF melesenkan kira-kira 17 vesel untuk beroperasi di Lautan Hindi dan meluluskan 93 permit untuk syarikat membina baru vesel atau membeli vesel terpakai untuk tujuan pelesenan.

“Dengan adanya vesel tuna yang didaftarkan di Malaysia dan kesediaan vesel luar negara mendaratkan ikan di pelabuhan di Malaysia, kerajaan merancang merangka membangunkan industri hiliran berorientasikan perniagaan bersepadu.

“Bagi pembangunan industri hiliran, disasarkan 10 peratus daripada tuna yang didaratkan adalah untuk pasaran tempatan. Pusat pemprosesan ikan di Bukit Minyak, Seberang Perai dijangka beroperasi hujung tahun ini akan menghasilkan kiub tuna dan tuna saku apabila ia secara langsung mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 12:00 AM