BUAH naga adalah sumber makanan berkhasiat yang semakin popular di negara Asia termasuk Malaysia.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my

Buah naga atau lebih dikenali sebagai buah pitaya mempunyai bentuk ganjil dengan kulit luar berwarna merah dan ‘sayap’ seperti seekor naga menjadikannya berlainan dengan buah-buah tempatan lain yang ditanam di negara ini.

Namun, bentuk unik buah naga yang berasal daripada keluarga cactacea tergolong dalam spesies kaktus itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan petani moden.

Buah naga mempunyai dua jenis iaitu Hylocereus undatus (isi putih) dan Hylocereus polyrhizus (isi merah) yang kaya pelbagai khasiat, sementara isinya dipenuhi dengan taburan biji-biji berwarna hitam boleh dimakan dan tekstur isinya lembut seperti tembikai. Rasanya pula seperti buah kiwi.

Jika dulu ia lebih dikenali dalam kalangan kaum Cina, namun sejak kebelakangan ini mula digemari semua lapisan masyarakat menyebabkan permintaannya meledak di pasaran.

Menyedari potensi buah naga di pasaran tempatan yang mempunyai prospek luas mendorong seorang anak muda, Chuah Jiunn Harng, 24, memberanikan diri mengeluarkan modal RM50,000 bagi meneruskan projek tanaman buah naga dikenali Evergree Orchard Farm di Kampung Mengkuang Semarak, Bukit Mertajam.

Dia meneruskan projek tanaman buah naga meliputi kawasan berbukit seluas tiga hektar membabitkan 3,300 pokok selepas mengambil alih pengurusan daripada bapanya, Chuah Kok Seng, 53, yang memulakannya lebih tujuh tahun lalu.

“Pengeluaran buah naga menerusi projek ini mampu menghasilkan lebih 1.5 metrik tan buah setiap bulan dan kira-kira 25 tan setahun, namun ia hanya cukup untuk pasaran tempatan saja.

“Saya memiliki ijazah daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) kampus Perak pada 2015 dalam jurusan bioteknologi, namun impian saya untuk meneruskan kerjaya dalam bidang pertanian berbanding bekerja di pejabat dengan tawaran gaji lumayan.

“Hasil penjualan buah naga mengikut kelas iaitu gred AA dijual RM6.50 sekilogram (kg) dan mampu menjana purata perolehan kira-kira RM100,000 setahun,” katanya.


CHUAH menunjukkan buah naga segar yang dituai dari ladangnya.

Buah naga adalah sumber makanan berkhasiat semakin popular di Asia termasuk Malaysia dan mempunyai manfaat bagi kesihatan manusia termasuk sebagai pengimbang kadar gula darah, pelindung kesihatan mulut, pencegah kanser usus, mengurangi kolesterol, pencegah pendarahan serta mengubati keputihan.

Menariknya buah ini ada kalanya mempunyai rasa manis atau masam mengikut jenis. Walaupun buah eksotik, buah naga selamat dimakan ibu hamil dan menyusukan bayi di samping mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Tanaman buah naga memerlukan suhu sekitar 20 hingga 30 darjah Celsius dengan sekurang-kurangnya tujuh jam sinaran matahari di atas tanah berpasir dan tanah lom (gembur) berpasir terutama yang kaya dengan bahan organik.

Jiunn Harng berkata, pokok buah naga adalah jenis pokok kaktus padang pasir yang boleh menyimpan air, namun masih memerlukan penyiraman air bagi mempercepat pemanjangan ruas dan pokok meninggi terutama pada musim panas.

Beliau berkata, penanam perlu mengawasi penyakit dan bakteria membabitkan batang reput dengan simptom kelihatan pada batang dan dahan yang mempunyai lesi berpusar mengeluarkan cecair busuk dan berlendir dengan semburan racun.


PEMERIKSAAN teliti dilakukan Chuah supaya buah naga di ladangnya itu sentiasa segar.

“Pokok buah naga bertunas banyak ketika kecil dan perlu dipangkas selalu dan akan mula berbuah selepas enam bulan dan berterusan sehingga mencecah umur 25 hingga 30 tahun bergantung pada pembajaan.

“Empat batang pokok diikat pada satu pancang dan setiap pokok boleh menghasilkan 10 biji buah pada satu-satu masa yang masak dalam tempoh 35 hari dan semakin ia tua, semakin lebat buahnya,” katanya.

Sementara itu, Agen Pengembangan Kawasan (APK) Jabatan Pertanian Negeri, Ahmad Fadzli Abdul Malit berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan petani dan pekebun di kawasan pentadbirannya.

Beliau berkata, pihaknya turut memberikan khidmat nasihat meliputi kaedah terkini tanaman dan membantu mengetengahkan produk pertanian dihasilkan petani dan pengusaha tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:54 AM