PENGUNJUNG teruja menikmati durian.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

“Jangan bunuh industri durian,” tegas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengulas rungutan orang ramai berkenaan harga raja buah itu yang semakin melambung.

Beliau berkata, tanaman durian bakal muncul sebagai industri yang mampu menjana ekonomi negara pada masa depan.

“Ia suatu ekonomi dan kita melihat potensi yang besar kepada negara. Kita sekarang sudah melihat industri ini bukan saja membabitkan penanam semata-mata.

“Tidak ketinggalan mereka yang menjual anak pokok, baja, memasarkan, mengeksport dan pengangkutan.

“Jadi, kita jangan bunuh industri ini, kalau harga durian naik, kita akan cuba stabilkan kembali. Orang ramai jangan terlalu emosi dengan kenaikan harga yang tidak normal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu jemputan pada program terbitan RTM, Suara Kita, Hak Kita: Durian Ceria atau Kecewa yang bersiaran secara langsung dari gerai Durian SS2, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Turut menjadi tetamu jemputan ialah pengusaha Agro Farm Raub, Pahang Zamri Othman.

Menurutnya, ia boleh menjadi sebagai satu industri baru dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara.


AHMAD Shabery dan Zamri menjadi tetamu jemputan program Suara Kita, Hak Kita: Durian Ceria atau Kecewa.

“Kita melihat keceriaan di wajah mereka (penanam) apabila harga durian naik. Mungkin juga ada orang yang ceria dan tidak ceria dengan situasi ini.

“Oleh itu, kita mencari keseimbangan dalam hal yang memberi keceriaan kepada mereka yang mengeluarkan tanaman ini dan yang menggunakannya.

“Industri ini sangat unik kerana varieti yang kita ada tidak terdapat di negara lain kerana beberapa faktor antaranya cuaca tidak sesuai,” katanya.

Dalam usaha membangunkan lagi industri durian, Ahmad Shabery turut menyokong kewujudan lokasi tumpuan durian seperti gerai Durian SS2.

Beliau berharap lebih banyak tempat sedemikian diwujudkan di negeri lain.

Sementara itu, pengusaha Durian SS2 Lee Chee Kong berkata, gerai jualan durian yang diusahakan sejak 18 tahun dulu berjaya menarik kehadiran pelbagai pelanggan termasuk dari luar negara.

“Hampir 30 peratus pelanggan yang datang adalah dari Singapura, China, Indonesia, Thailand dan United Kingdom.

“Ada pelancong dari China datang ke negara ini semata-mata mahu menikmati durian Musang King kerana durian ini dijual pada harga lebih murah di negara ini berbanding di negara mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:32 AM