TEKNOLOGI salutan nano digunakan pada kotak topping lebah kelulut untuk antimikrob dan menghalang pembiakan kulat.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Nanocoating atau salutan nano adalah lapisan nipis yang disaluti pada permukaan pepejal yang mempunyai sifat antimikrob dan dapat mencegah pertumbuhan kulat.

Inovasi ini juga boleh meningkatkan ketahanan kotak ‘topping’ lebah kelulut.

Lebah kelulut dapat meningkatkan pengeluaran madu dalam keadaan bersih. Antimikrob pada salutan nano dapat membantu meningkatkan pengeluaran madu lebah dan seterusnya menjana pendapatan lebih tinggi bagi pengusahanya.

Teknologi salutan nano diperkenalkan NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dapat meningkatkan nilai tambah kepada penternakan lebah kelulut secara mampan melalui pelaksanaan projek keusahawanan sosial.

Menterinya, Datuk Madius Tangau berkata, inovasi yang diperkenalkan iaitu kotak topping lebah yang disalut dengan lapisan berteknologi nano untuk antimikrob dan menghalang pembiakan kulat.

Beliau berkata, ia adalah inovasi baru yang diperkenalkan NanoMalaysia untuk meningkatkan daya tahan kotak topping lebah kelulut dan mampu meningkatkan produktiviti madu sebanyak 20 peratus seterusnya menjana pendapatan yang berterusan untuk penduduk kampung.


MADIUS (tengah) dan Rezal Khairi (kiri) melancarkan program penutupan.

“Kebaikan penternakan lebah kelulut berinovasi adalah dengan adanya lebihan madu kelulut, ia boleh digunakan untuk pembuatan produk hiliran madu kelulut dalam bentuk sabun, pelembap bibir dan produk kesihatan lain.

“Kursus penternakan lebah kelulut yang dijalankan menarik minat penduduk kampung untuk menggunakan kaedah penternakan lebih bersistematik.

“Inovasi seperti penyedut madu yang diubah suai mampu membantu mempercepatkan proses pengumpulan madu kelulut. Madu lebah kelulut mempunyai harga pasaran yang lebih tinggi berbanding madu lain kerana ia mempunyai khasiat dan nutrien lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan program Pembangunan Usahawan Belia Agro dalam Perusahaan Madu Kelulut dengan Penggunaan Teknologi Nano menerusi Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, Sabah, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Dr Rezal Khairi Ahmad. Lebih 100 peserta mengikuti kursus penternakan madu lebah kelulut yang dianjurkan NanoMalaysia dengan kerjasama Enactus UNITEN dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk membantu penduduk kampung dalam teori serta latihan amali.

Madius berkata, perusahaan madu lebah kelulut perlu dikembangkan dan dikomersialkan menggunakan teknologi baru untuk mendapatkan pulangan lumayan.


PENGUNJUNG melihat sarang madu kelulut.

“Projek di bawah MSI dilaksanakan pada skala permulaan sebagai pemangkin untuk meningkatkan pembabitan penduduk tempatan dan sektor swasta pada skala lebih besar lalu memberikan impak yang bermanfaat kepada penduduk. Jika dulu, penternakan lebah kelulut hanya untuk pasaran tempatan, tetapi sekarang, hasil penternakan lebah mampu memasuki pasaran global,” katanya.

Rezal berkata, salutan nano adalah inovasi yang boleh meningkatkan ketahanan kotak topping lebah kelulut.

“Lebah kelulut dapat meningkatkan pengeluaran madu dalam keadaan bersih.

“Antimikrob pada salutan nano dapat membantu meningkatkan pengeluaran madu lebah dan seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi bagi penduduk kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:28 AM