MUHAMMAD Faiz menunjukkan buah amra di kebunnya.
Syed Ismail Syed Abu Bakar
rencana@hmetro.com.my


Walaupun tidak memiliki pengalaman dan pengetahuan formal dalam bidang pertanian, ia tidak melemahkan impian seorang bekas penuntut Politeknik Seberang Perai (PSP) di Bukit Mertajam, Pulau Pinang membuktikan dirinya mampu menjadi petani berjaya.

Ia dibuktikan apabila Muhammad Faiz Mohd Idris, 29, dinobatkan pemenang Anugerah Usahawan Tani Muda (Tabung Keusahawanan Tani Muda) pada Ekspo Agrofest 2017 di Tapak Ekspo Seberang Jaya, baru-baru ini.

Anugerah bersama sijil dan wang tunai itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan ia jelas mengiktiraf segala keperitan untuk mengusahakan ladang seluas 1.5 hektar berhampiran rumahnya di Kampung Kepala Bukit, Bukit Mertajam.

Muhammad Faiz pernah bekerja dalam sektor perkilangan, tetapi disebabkan kekangan masa yang tidak menepati kehendak hati, dia akhirnya berhenti kerja dan bertekad mengusahakan tanah keluarga sepenuh masa bermula 2010.

Bermodalkan RM1,000 untuk kerja membersihkan tanah selain membeli peralatan pertanian, Muhammad Faiz mula mengorak langkah untuk tanaman secara kecil-kecilan hinggalah memenuhi setiap ruang tanah pertanian itu.


JAGUNG yang baru dipetik dari kebunnya.

Muhammad Faiz kini mampu tersenyum lebar apabila berjaya mengusahakan tanaman seperti bendi, jagung, buah amra, kangkong, serai, durian belanda, lengkuas dan kunyit yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Saya berterima kasih di atas kerjasama dan bantuan diberikan kakitangan Jabatan Pertanian Pulau Pinang di bawah kendalian ejen pembangunan kawasan, Nor Hasmidar Abu Bakar yang banyak membantu memberikan input dan maklumat berkaitan tanaman yang diusahakan.

“Bagaimanapun, pengalaman seperti kehadiran tikus dan kes kecurian turut menghantui apabila hasil tanaman itu bukan saja rosak, malah hilang dikebas pencuri menyebabkan saya terpaksa menjalankan tugas dengan lebih lagi bagi mengawasi kebun itu,” katanya.

Beliau berkata, semua hasil tani yang dituai dijual terus kepada pelanggan dengan kadar harga berpatutan walaupun ada dibeli peraih yang datang ke kebunnya.


MUHAMMAD Faiz berbincang dengan Penolong Pegawai Pertanian (Operasi) Pejabat Pertanian Seberang Perai Tengah (SPT) Mat Suaid Sapiyin (kiri) dan ejen pembangunan kawasan Nor Hasmidar Abu Bakar.

Menurutnya, dia bersyukur apabila jualan semua hasil pertanian itu mampu menjana pendapatan antara RM3,500 hingga RM4,500 sebulan.

“Saya bersyukur kerana hasil titik peluh mengusahakan ini jelas membuktikan lambang kegigihan, kecekalan dan keberanian untuk terus mencuba sektor pertanian yang mampu meningkatkan taraf hidup seseorang.

“Saya sedar, untuk berjaya, segala perasaan malu, ego dan rasa rendah diri perlu dikikis bagi mencapai matlamat itu apatah lagi hasil tani diusahakan kini semakin berkembang,” katanya.

Kejayaan itu turut dikongsi isterinya, Latifah Saad, 29, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuchai, Kinrara, Puchong, Selangor dan lebih manis lagi mereka bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.


MUHAMMAD Faiz menunjukkan sijil Anugerah Usahawan Tani Muda (Tabung Keusahawanan Tani Muda) pada Ekspo Agrofest 2017 yang diterimanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian (Operasi) Pejabat Pertanian Seberang Perai Tengah (SPT),Mat Suaid Sapiyin berkata, Tabung Keusahawanan Tani Muda secara tidak langsung mampu memberi impak positif dalam usaha menangani masalah pengangguran khususnya dalam kalangan lepasan pelajar institusi pengajian tinggi.

“Jabatan Pertanian Negeri sentiasa memberikan bimbingan dan sokongan berterusan kepada peserta, tetapi pada masa sama mereka perlu mengikis sikap untuk bekerja makan gaji semata-mata selepas tamat pengajian di universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 10:18 AM