RAMLI memberi makan kepada rusa.
PEKERJA melapah rusa.
BAKA rusa timor rensis.
Ahmad Rabiul Zulkifli
rencana@hmetro.com.my

Keputusan seorang penternak lembu beralih kepada penternakan rusa tepat apabila ternakan yang diusahakan sejak 2013 itu kini memberi pulangan lumayan kepadanya.

Ini kerana kos dan kaedah penjagaan rusa jauh lebih jimat malah tidak cerewet berbanding lembu selain rusa cepat membiak serta boleh dijual seawal usia dua bulan.

Ramli Yusof, 41, berkata, penjagaan rusa sangat mudah dan tidak membabitkan kos makanan yang tinggi pada setiap bulan seperti lembu atau ternakan lain.

“Saya menternak dua jenis rusa iaitu rusa baka timor rensis kerana sifatnya yang lasak dan tahan serangan penyakit selain baka axis-axis. Kini saya memiliki 73 ekor rusa namun jumlah itu sentiasa berubah-ubah mengikut permintaan pelanggan.

“Rusa tidak cerewet, ia tidak memerlukan kos ubat-ubatan atau vitamin seperti lembu atau ternakan lain. SAya hanya perlu menyediakan kawasan yang selesa dan selamat selain memagar kawasan itu dengan pagar setinggi 2.4 meter.

“Makanan yang menjadi kegemaran rusa pula hanya rumput minyak dan napier sementara palet tidak perlu diberikan secara rutin seperti lembu.

“Rusa lebih gemar makan makanan berasaskan sumber semula jadi seperti batang sagu, hampas soya, buah dan daun pokok kelapa sawit,” katanya ketika ditemui di Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, pada peringkat permulaan dia hanya membela empat ekor rusa timor rensis dan membiak hingga 20 ekor seterusnya memperluaskan kandang di ladang kelapa sawit dengan kos RM14,000.

“Saya tidak sangka permintaan terhadap daging dan rusa hidup amat tinggi hingga hasil pembiakan rusa yang dijalankan di kandang tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan dari seluruh negeri.

“Saya menambah jumlah induk yang berkualiti di kandang dengan membeli induk terbaik dengan harga RM4,000 seekor dan menjalankan kegiatan penternakan rusa secara serius.

“Alhamdulillah, dalam tempoh hanya tujuh hingga lapan bulan rusa yang diternak membiak dan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Ramli berkata, dia lebih gemar menjual rusa hidup berbanding daging kerana pulangan menjual daging tidak seberapa, bagaimanapun demi memenuhi permintaan pelanggan dia terpaksa menyembelih dan menjual daging berkenaan.

“Rusa dijual berdasarkan harga pasaran iaitu RM1,500 seekor untuk anak rusa jantan dan RM2,000 untuk anak rusa betina sementara rusa jantan dewasa RM2,500 seekor dan rusa betina dewasa RM3,000.

“Induk betina dijual dengan RM4,000 seekor sementara induk jantan bernilai RM4,500 hingga RM5,000 seekor bergantung kepada saiz dan jenis rusa. Rusa baka campuran sambar paling mahal iaitu RM5,000 ke atas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 9:27 AM