PERIGI baja bagi memudahkan proses membuat baja untuk tanamannya.
KOLAM ikan hiasan di kebun mininya bertujuan menjadikan suasana lebih menarik.
NOOR Harmauzailatulisa membuang daun kering pada pokok cili yang segar menghijau.
BAHAN terpakai seperti kotak polisterin sebagai medium tanamannya.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my

Penggunaan bahan kitar semula seperti kayu palet, kotak polisterin, beg semaian dan botol terpakai untuk dijadikan bekas tanaman tanpa perlu menggemburkan tanah untuk bercucuk tanam.

Noor Harmauzailatulisa Md Yusuff, 34, bijak manfaatkan laman kecil di bahagian tepi rumahnya dengan konsep ‘kebun bandar’ bagi menjimatkan perbelanjaan dapur.

Landskap tanaman sayurannya kelihatan subur menghijau dengan susunan yang sangat menarik, kemas dan menarik. Malah, bertambah ceria apabila disulam pula dengan tanaman pokok bunga pelbagai warna.

Menurutnya, ketika memulakan projek kebunnya sejak setahun lalu, beliau lebih fokus kepada tanaman sayuran lebih 30 jenis seperti jagung, sawi, terung, tomato, cili, petola, timun, daun kesum, pokok kucai, bendi, bayam dan kailan.

“Bagaimanapun, sejak awal tahun ini, saya mengambil pendekatan ‘menyulam’ tanaman sayur dan pokok bunga untuk menjadikannya landskap lebih segar, berseri serta berwarna warni.

“Perasaan jemu dengan warna hijau semata-mata berdasarkan tanaman sayuran ini yang memberi idea terbaru walaupun jarang dibuat orang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mutiara Perdana, Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Noor Harmauzailatulisa berkata, antara pokok bunga yang ditanam ialah bunga raya, bunga marigold dan bunga gincu yang ‘diapit’ dengan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman seperti pegaga, sabung nyawa, ulam raja, daun kesom, daun sup, sawi, terung serta cili.

“Ada petua mengatakan elok tanam bunga marigold di antara pokok sayur untuk elakkan dari di makan ulat, tetapi saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya.

“Hampir 95 peratus tanaman ditanam dalam pasu untuk menjimatkan ruang, secara tidak langsung ia mudah dipindahkan ke tempat lain untuk pengubahsuaian landskap kebun mini ini,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Penguasa Kastam Bahagian Perkhidmatan Teknik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Pahang hanya menggunakan campuran bawang putih, minyak masak, cili api, sabun basuh dan air yang dikisar halus sebelum ditapis untuk menghasilkan racun organik.

“Dari segi penggunaan tanah, saya masih menggunakan gabungan tanah organik, tanah hitam, tanah baja sawit dan sabut kelapa serta bancuhan air baja AB kerana nampak ‘keserasian’ dengan tanaman.

“Berkebun ini sudah menjadi minat saya sejak remaja dan ia aktiviti yang sangat baik kerana disamping menjadi terapi minda, ia memberi seribu kebaikan di segi kesihatan kerana semua tanaman bebas racun,” katanya.

Noor Harmauzailatulisa juga mewujudkan akaun Facebook menggunakan nama Dalam Taman Ada Kebun dengan lebih 16,000 ahli terdiri daripada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu perkebunan selain akaun Instagram yang diwujudkan untuk berkongsi gambar terkini kebun miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 9:10 AM