NORLIZAWATI memastikan proses pembakaran dan pengeluaran kuih tart nanas dilakukan sempurna.

Kesukaran berdepan cabaran membesarkan tiga anak ketika gagal dalam perkahwinan pertama menjadi pembakar semangat untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan.

Bagi Norlizawati Baharin, 32, tiada erti patah semangat pada dirinya biarpun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran demi memastikan nasib dan masa depan tiga anaknya berusia tiga hingga sembilan terjamin.

Dia yang ketika itu menyewa di Serdang, Selangor nekad mengusahakan kuih tart nanas secara kecil-kecilan pada 2014 dengan memasarkan produk itu di kaki lima kompleks beli-belah sekitar Kuala Lumpur untuk menyara keluarganya.

“Ketika itu saya berstatus ibu tunggal dan bukan mudah untuk membesarkan anak tanpa pendapatan tetap, malah pernah menjadi gelandangan selama tiga hari kerana tertekan sebaik berpisah dengan suami.

“Selepas memikirkan masa depan, saya terus bertindak nekad dengan mengusahakan perniagaan tart nanas, yang satu-satunya kemahiran yang ada ketika itu selain diwarisi daripada nenek.

“Bermula dengan pengeluaran sekitar 500 biji sehari, ia terus meningkat berkali ganda hingga kadangkala tidak cukup tangan kerana mendapat sambutan baik daripada pelanggan,” katanya.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan dari kolej swasta di Bangi, Selangor ini berkata, beliau kemudian bertemu jodoh kali kedua dengan Amirul Syafiq Azman, 28, pada pertengahan 2015, yang menjadi pendorong untuk terus berjaya dalam perniagaan.

Norlizawati yang kini menetap di Senawang, Negeri Sembilan mengembangkan perniagaan itu dengan menubuhkan syarikat Sweeto Pineapple Houz Enterprise (Sweeto).

Beliau menyewa satu lot perniagaan di pasar raya Kipmart Senawang bagi melancarkan proses pengeluaran dan pemasaran produk berkenaan.

“Setakat ini, dua produk tart yang menggunakan nama tart nanas mama dikeluarkan iaitu tart nanas gulung dan tart nanas cheese.

“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga banyak membantu menjadi seorang usahawan.

“MARDI membantu dari segi peralatan ketuhar dan kualiti produk selain khidmat nasihat untuk terus bersaing, manakala FAMA menyalurkan bantuan kewangan bagi pelabelan dan kemudahan dalam premis sekali gus meringankan beban operasi,” katanya yang mengeluarkan modal RM15,000.

Katanya, melalui sokongan tujuh pekerja dan 30 ejen di seluruh negara, Sweeto sudah berjaya memasarkan produk berkenaan sekitar 10,000 pek sebulan dengan nilai jualan mencecah sekitar RM50,000 sebulan.

“Saya menyasarkan untuk meraih nilai jualan kepada RM600,000 menjelang akhir tahun ini dan yakin ia boleh dicapai.

“Selain itu juga, saya sudah merancang menambah beberapa produk baru termasuk pelbagai jenis kek, biskut kelapa dan biskut bulat selain kuih semperit,” katanya. -Mohd Amin Jalil

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 2:34 PM