BAH Piyan menunjukkan bagaimana aquaponik berfungsi.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ikan dan sayuran adalah antara sumber utama makanan yang jika mampu dihasilkan sendiri sudah pasti dapat meringankan beban perbelanjaan isi rumah terutama bagi golongan pendapatan rendah dan sederhana.

Kerajaan daripada pelbagai jabatan dan agensi berusaha memperkenalkan pelbagai produk inovasi yang bertujuan membantu golongan berkenaan.

Ia termasuk projek aquaponik yang mengabungkan kombinasi akuakultur (ternakan ikan) dan hidroponik (tanaman tanpa tanah).

Aquaponik bertujuan membantu meringankan beban melalui ternakan ikan dan tanaman sayuran, namun jika diusahakan secara komersial mampu menjadi punca pendapatan lumayan.

Ini kerana aquaponik tidak memerlukan ruang besar serta boleh diusahakan di kawasan bandar.

Di Perak sahaja setakat ini kira-kira 70 peserta menyertai projekaquaponik yang dikendali dan dipantau Jabatan Perikanan Perak.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Dr Bah Piyan Tan berkata, projek berkenan diperkenalkan pada 2015 secara menyeluruh di peringkat kebangsaan dan Perak turut menyertainya membabitkan beberapa peserta terpilih.

“Konsep aquaponik ini adalah air yang digunakan untuk ternakan ikan dimanfaat sepenuhnya sebagai baja untuk sayuran.

“Hasil ternakan dan tanaman adalah lebih kepada kegunaan sendiri dalam meringankan beban perbelanjaan isi rumah,” katanya pada Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Agrofest Perak 2017 sempena sambutan Hari Terbuka Armada di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, baru-baru ini.

Bah Piyan berkata, melalui projek berkenaan peralatan termasuk tangki air untuk membela ikan, benih ikan dan sayur diberikan kepada peserta secara pemberian sekali sahaja.

“Peserta perlu mengusahakannya hingga membuahkan hasil serta mampu meneruskannya untuk ternakan dan tanaman seterusnya.

“Peserta kebiasaannya dibekalkan dengan benih ikan keli atau tilapia dan benih sawi serta tangki dengan kos dianggarkan RM3,500.

“Kira-kira 70 peserta di seluruh Perak masih mengusahakannya dan kami memantau perkembangannya, namun buat masa ini tiada peruntukan baru untuk projek aquaponik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Perikanan bersedia memberi khidmat nasihat kepada pihak yang berminat mengusahakannya terutama secara komersial.

Menurutnya, orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat mengenai projek berkenaan di Pejabat Perikanan terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 2:32 PM