TELUR sotong yang sudah siap dimasak.
TELUR ikan mayong.
PEK telur ikan mayong.
TELUR ikan mayong.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

Menceburi bidang perniagaan yang jarang diteroka memberi sedikit kelebihan kepada Mohd Suzirman Mohd Sharin, 36, untuk bertapak dalam bisnes telur ikan, malah produk dipasarkan juga sentiasa mendapat tempat di hati penggemarnya.

Idea kreatif perniagaan yang dianggap ‘rare’ itu bermula dua tahun lalu selepas anak kelahiran Besut, Terengganu ini melihat potensi besar bisnes secara dalam talian yang sedang berkembang serta mendapat tempat dan diterima masyarakat.

Malah, dia beruntung kerana makanan kegemaran keluarganya sejak kecil terutama membabitkan menu telur ikan tenggiri dan sotong turut dikongsi keluarga mentuanya di Kota Tinggi, Johor, yang juga penggemar hidangan asam pedas telur mayong.

“Ikut asalnya, telur ikan memang hidangan kegemaran saya sejak kecil, malah kami adik-beradik akan berebut mendapatkan telur ikan tenggiri, selain telur sotong memandangkan hidangan berkenaan sangat terhad ketika itu.

“Biasanya telur tenggiri sedap dimasak lemak, namun ia lebih enak jika digoreng bersama kunyit, malah bagi keluarga mentua pula mereka lebih gemar masak asam pedas telur ikan mayong,” katanya ketika berkongsi perniagaan secara dalam talian.

Katanya, tempoh lima tahun menetap di Kelapa Sawit, Kulai, Johor membolehkan dirinya mengenali budaya makan telur mayong, selain asam pedas sudah menjadi hidangan kegemaran ketika menyambung pelajaran peringkat ijazah di Melaka.

Mohd Suzirman berkata, pada mulanya beliau hanya berkongsi makanan kegemaran menerusi media sosial sebelum akhirnya tercetus ilham untuk memasarkan makanan laut itu yang boleh diperoleh dari negeri di pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan.

“Budaya makan telur mayong tidak seperti masyarakat di Johor. Jadi mudah bagi saya mendapatkan stok telur mayong dari pembekal di kedua-dua negeri di pantai timur itu.

“Pada masa sama, telur ikan tenggiri dan sotong juga boleh diperoleh daripada pembekal di negeri berkenaan, namun bekalannya sedikit terganggu terutama pada musim tengkujuh,” katanya.

Menggunakan Facebook (FB) Che’guz, guru sebuah sekolah kebangsaan di Kulai ini berkata, dia menggunakan khidmat ‘runner’ bagi menghantar stok telur ikan dipesan pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan mempunyai cita rasa tersendiri. Ada yang gemar telur mayong, ada pula yang sukakan telur tenggiri dan tidak kurang pula menggemari telur sotong.

“Harga ditawarkan juga mengikut pasaran semasa dan ia tidak menentu, selain bergantung kepada pembekal, namun ia tidak menjadi masalah kepada pelanggan dengan stok berkenaan dihantar sendiri atau menggunakan dua pembantu sambilan,” katanya.

Katanya, pelanggan akan dikenakan caj 30 sen bagi setiap kilometer (km) dan lokasi penghantaran termasuk Senai, Skudai, Johor Bahru dan Pasir Gudang, selain menerima pelanggan yang datang sendiri terutama dari Batu Pahat, Kluang dan Pontian.

Dia yang beroperasi di Kelapa Sawit berkata, perniagaan secara sambilan itu turut dibantu isterinya, Waheeda Khalid, 36.

Menyentuh berkenaan cabaran dihadapi dalam bidang perniagaan berkenaan, guru bahasa Inggeris ini mengakui sukar mendapatkan stok makanan laut itu pada musim tengkujuh.

“Itu antara kekangan perlu dihadapi apabila terbabit dalam bisnes ini. Pada musim tengkujuh nelayan tidak dapat turun ke laut mengakibatkan ada kalanya stok terputus.

“Namun disebabkan telur berkenaan mampu bertahan lama jika ditempatkan di peti sejuk serta mengikut suhu sepatutnya maka tidak ada masalah untuk saya membekalkannya kepada pelanggan,” katanya.

Bekas penuntut Universiti Multimedia (MMU) ini mengakui telur yang dijual segar itu juga mampu bertahan untuk tempoh kira-kira empat bulan dengan syarat tidak dikeluarkan dalam peti sejuk.

Ditanya berkenaan persaingan katanya, sudah lumrah bagi golongan bergelar usahawan, namun menganggap ia persaingan sihat kerana boleh belajar sesuatu daripada pesaing sekaligus menjadikan perniagaan diceburi lebih kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 2:29 PM