ELSURAYA dan Adam di dalam kebun mini Telok Bakong Fig Garden.
SEPOKOK mampu menghasilkan 40 hingga 50 buah sekali pengeluaran.
ANAK pokok tin.
KERATAN yang dibalut dengan sphagnum moss sejenis lumut untuk membantu keratan berakar.
ISI buah tin.
TAPAK semaian bunga orkid dan hoya kerrii di kebun mini Telok Bakong Fig Garden.
ELSURAYA dan Adam menunjukkan hoya kerrii atau bunga lilin yang dibawa dari Hungary.
Noor Hidayah Tanzizi
rencana@hmetro.com.my

Hasrat seorang wanita untuk berhijrah di Hungary tujuh tahun lalu untuk mencari rezeki bukan hanya bertemu jodoh dengan suaminya, malah membuatkan dia jatuh cinta dengan tanaman buah tin yang kini menjadi sumber pendapatannya.

Elsuraya Mohamed, 46, berkata, dia gemar bercucuk tanam serta ‘geram’ apabila melihat banyak pokok tin yang tumbuh melata dan subur di tepi jalan di negara Eropah Timur itu.

Melihat tanaman liar itu hidup subur menjadikan dia jatuh cinta dengan buah syurga yang mempunyai 1,001 manfaat itu dan mencetuskan idea untuk ditanam di rumah ibunya di Kampung Telok Bakong, Bota, Perak.

Menurut Elsuraya, dia menyuarakan keinginannya itu kepada suami, Barak Nobert atau Adam Abdullah, 33, dan mereka bermula dengan enam keratan pokok tin yang dihantar melalui perkhidmatan penghantaran untuk disemai di Malaysia.

“Saya hantar enam keratan batang pokok untuk disemai menjadi anak pokok buah tin kepada abang dan tempoh penghantaran memakan masa hampir sebulan dari Hungary ke Malaysia dan dalam tempoh itu dua daripadanya mati.

“Empat keratan yang masih hidup mula bertunas dalam tempoh itu dan tiga keratan ditanam di rumah abang di Kampung Gajah, Bota manakala sepokok ditanam di rumah ibu saya yang kini dijadikan induk,” katanya yang menetap bersama ibu dan suami di Kampung Telok Bakong, Bota, Perak.

Katanya, setahun selepas itu dia dan suami pulang ke tanah air dan melihat seorang pengusaha kebun tin di Sungai Buloh, Selangor berjaya mempunyai kebun sendiri dan itu mencetuskan idea untuk mengembangkan tanaman buah tin di rumahnya.

“Alhamdulillah, sehingga kini kami sudah mempunyai 80 jenis pokok tin yang semuanya adalah baka dari luar negara seperti Hungary, Sepanyol dan Portugis, malah kami turut mempunyai tanaman buah zaitun, rasberi, anggur serta hoya kerri atau bunga lilin yang dibawa dari Hungary.

“Antara jenis yang ada di kebun mini ini adalah tihany, baracska dan katalin baka daripada Hungary, D’ EN Bota pula dari Sepanyol manakala inchario preto dari Portugal,” katanya.

Bercerita mengenai tanaman baka asli daripada kawasan Mediterranean itu Elsuraya mengakui cabarannya agak besar kerana ia membabitkan kesesuaian tanah biarpun tidak mempunyai masalah cuaca.

Katanya, dia menggunakan sejenis lumut yang dikenali sebagai sphagnum moss untuk memudahkan keratan pokok berakar dengan cara membungkus bersama plastik dan disimpan dalam bekas kedap udara serta berwap selama tiga minggu.

“Cuaca di sini sesuai dengan tanaman ini kerana buah tin sifatnya lebih panas lebih manis cuma masalah tanah sahaja kerana di sini lebih keras dan berasid. Kami menggunakan tanah jenis ‘peatmoss’ yang berwarna hitam dan diimport dari Holland, namun ia boleh didapati di sini.

“Pokok ini antara tanaman manja yang memerlukan penjagaan teliti terutama di peringkat keratan dan mengambil masa empat hingga enam bulan untuk berbuah dengan sepokok mampu mengeluarkan hasil 40 hingga 50 buah.

“Tanah juga tidak boleh terlalu lembap dan beg semaian juga perlu mengikut saiz keratan bagi mengelakkan pokok ‘lemas’, malah dalam setahun perlu tiga kali menukar beg atau pasu mengikut pertumbuhan pokok,” katanya yang menjual pokok tin bermula pada harga RM70 sehingga pernah mencecah RM700.

Elsuraya berkata, biarpun modal agak tinggi namun ia memberikan pulangan yang lumayan dan di sini tanaman tin berbuah sepanjang tahun tidak sama di Hungary hanya dua kali setahun.

Sementara itu, Adam berkata, tidak hanya menumpukan pasaran tempatan mereka turut mempunyai pelanggan dari Itali, Indonesia, Republik Czech dan Hungary.

“Disember adalah masa kami membuat keratan untuk anak benih kerana cuaca ketika itu lebih sesuai dengan keadaan cuaca yang agak lembap dan kurang panas.

“Untuk menghasilkan 1,200 keratan kami menggunakan 30 guni tanah dan osmocote adalah baja dari Hungary yang digunakan dengan hanya diletakkan tiga kali setahun,” katanya yang memberikan nama kebun Telok Bakong Fig Garden seluas 0.1 hektar di tepi rumah.

“Cuaca panas tidak menjadi masalah kerana di Hungary jika musim panas ia mencecah suhu 40 darjah Celsius namun itu yang menjadikan buah tin lebih manis.

“Ramai yang beranggapan buah tin hanya ada di tanah Arab sahaja namun sebenarnya buah syurga itu hidup subur di Eropah dan kini kami dalam usaha untuk menyesuaikan pokok tin dengan tanah tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 2:41 PM