SATE tuna.
IKAN tuna.
SATE tuna mengandungi vitamin yang tinggi.
Mohamad Hussin
rencana@hmetro.com.my

Menu sate tuna yang baru diperkenalkan boleh memberi pulangan lumayan iaitu lebih RM5,000 sebulan kepada usahawan sate tempatan.

Kandungan vitamin tinggi iaitu 42 peratus dan rendah kalori berbanding sate ayam atau daging dikira sesuai untuk penggemar sate yang mementingkan kesihatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sate tuna antara produk inovasi baru Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, ia antara produk promosi hasilan tuna bersesuaian dengan industri penangkapan tuna yang sedang berkembang di negara ini.

“Sate tuna dihasilkan 100 peratus daripada ikan tuna sirip kuning (yellowfin tuna) yang lazat dan kaya dengan khasiat Omega 3.

“Ia berasaskan nutrien dan khasiat isi ikan tuna ini, sate tuna antara satu lagi menu pilihan bagi pengamal diet sihat,” katanya selepas merasmikan pelancaran sate tuna di Ampang Waterfront, Selangor, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan dan Pengurus Besar Satay Station Sdn Bhd (Satay Station) Zul Karnain Abdullah.

Ahmad Shabery berkata, produk baru itu juga secara tidak langsung menyokong industri huluan dan hiliran berkaitan ikan tuna.

“Sebagai permulaan untuk mempelbagaikan varieti sate sedia ada di pasaran di samping memberi kelainan dari segi rasa, nutrisi dan pilihan kepada pengguna.

“Syarikat usahawan Francais Satay Tuna dari Labuan, akan membekalkan bahan mentah seperti ikan tuna bagi dijadikan sate tuna kepada 11 rangkaian perniagaan Satay Station di Lembah Klang dalam masa terdekat ini,” katanya.

Menurutnya, kerjasama dengan Satay Station adalah satu langkah strategik antara kedua-dua pihak kerana rantaian kerjasama ini adalah saling melengkapi dan saling menguntungkan.

“Kita akan terus giat melahirkan usahawan Francais Satay Tuna untuk meluaskan lagi promosi dan pasaran sate tuna di seluruh negara.

“Ia satu langkah ke hadapan, bagi menampung keperluan permintaan pada masa akan datang bersesuaian dengan industri penangkapan tuna yang sedang berkembang maju.

“Peluang ini perlu direbut pengusaha kerana pasarannya masih luas. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyediakan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional bagi memulakan perniagaan sate tuna melalui skim TemanNita dan Teman TEKUN kepada usahawan yang berminat,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya menjangkakan dengan penggunaan teknologi dan usaha penambahbaikan resipi bersesuaian dengan cita rasa tempatan serta promosi berterusan.

“Permintaan ke atas produk baru sate tuna ini boleh mencecah sehingga 50,000 ribu cucuk sebulan di seluruh Malaysia dan dapat memberi pulangan kepada pengusaha melebihi RM5,000 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 2:36 PM