K Raven (duduk tengah) dan Dr Rosnani (duduk dua dari kiri) bersama peserta kursus kemahiran Empower selepas majlis Pelancaran Produk dan Pemindahan Teknologi Makanan serta Spa Daerah Mersing.

Sekumpulan penyelidik Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, berjaya menghasilkan produk pasta ikan berprotein tinggi dan ‘set spa Mersing’ untuk dipasarkan sebagai produk pelancong daerah Mersing.

Ia juga bertujuan menjenamakan produk pelancongan berasaskan laut, pembangunan spa dan produk berasaskan herba bagi melestarikan industri pelancongan pulau di perairan daerah itu yang sinonim dengan hasil laut dan pelancongan.

Ketua Penyelidik Pembangunan Produk Makanan dan Spa Daerah Mersing, IBD UTM Dr Rosnani Hasham berkata, tujuan utama program untuk memindahkan teknologi dan kepakaran kepada masyarakat terutama usahawan kecil dan sederhana supaya mereka dapat mengeluarkan produk berkualiti tinggi sendiri pada masa akan datang.

Beliau berkata, fasa pertama adalah melantik usahawan sebagai pengedar seterusnya fasa memindahkan teknologi kepada mereka secara berperingkat melalui komuniti sasaran.

“Selama sembilan bulan kami menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan dua produk yang mampu menjadi tarikan pelancong kerana ia berasaskan bahan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, secara tidak langsung pelancong asing yang mengunjungi pulau peranginan di Mersing boleh mendapatkan perkhidmatan spa dari bahan semula jadi selain membawa balik pasta ikan berprotein tinggi yang diilhamkan dari produk terkenal Mersing iaitu keropok lekor.

Sementara itu, dua peserta kursus kemahiran di bawah program Empower, Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) boleh dianggap bertuah apabila dilantik UTM sebagai pengedar dua produk terbaru hasil inovasi terkini itu.

Izarul Aqxval Ismail, 40, dan Nur Hidayah Khairudin, 24, dua daripada lebih 200 usahawan yang bernaung di bawah Empower ECER yang dipilih UTM sebagai ejen pemasaran seterusnya bakal menerima pindahan teknolgi menghasilkan kedua-dua produk itu menerusi tunjuk program pembangunan modal insan hasil kerjasama bersama ECER.

Majlis Pelancaran Produk dan Pemindahan Teknologi Makanan serta Spa Daerah Mersing disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh K Raven di Hotel Seri Malaysia, Mersing, Johor, baru-baru ini.

Sementara itu, Raven berkata, produk yang dihasilkan IBD UTM itu dapat merancakkan sektor pelancongan di daerah itu kerana kedua-dua hasil inovasi berkenaan mampu menjadi tarikan pelancong asing. -Zul Ikhwan Muhammad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 3:58 AM