PESERTA Koperasi Waris Jati Kondok Nilai projek penanaman cendawan tiram bersama Dr Mohd Azhar, Hasim dan Syed Agil.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Projek penanaman cendawan tiram secara komersial yang diperkenalkan melalui Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi (BCDP) mampu menjana pendapatan masyarakat setempat.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) melaksanakan BCDP melalui dana Inovasi Sosial MOSTI (MSI).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corp Syed Agil Syed Hashim berkata, dana MSI kepada Bioeconomy Corp membuktikan keprihatinan MOSTI untuk membudayakan sains dan inovasi kepada masyarakat secara meluas.

Beliau berkata, melalui dana ini, Bioeconomy Corp membiayai pelaksanaan projek BCDP menerusi penanaman cendawan tiram secara komersial di kampung berkenaan.

“Projek ini membabitkan syarikat berstatus BioNexus, Frais Funghi Sdn Bhd (FFSB) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) untuk membekalkan beg yang disuntik dengan benih cendawan tiram kelabu kepada peserta bermula 1 Ogos 2016 hingga 30 April lalu.

“Peserta dilatih dan dibimbing FFSB dan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) untuk menguasai teknik yang diperlukan untuk membiak dan menuai cendawan ini.

“FFSB memberi jaminan belian balik bagi cendawan tiram yang dihasilkan peserta terbabit,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan BCDP - Projek Penanaman Cendawan Tiram Secara Komersial kepada Koperasi Waris Jati Kondok Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahaya. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu Datuk Hasim Rusdi dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi) MOSTI Prof Madya Dr Ramzah Dambul.

Buat permulaan, seramai 10 ahli Koperasi Waris Jati Kondok Nilai, terpilih menyertai projek berkenaan membabit­kan peruntukan RM300,000.

Syed Agil berkata, kesung­guhan dan dedikasi yang ditunjukkan ahli koperasi membuktikan mereka memiliki kebolehan dan potensi tinggi untuk menceburi bidang bio-keusahawanan.

“Latihan biokeusahawanan yang berasaskan teknikal dapat menambah pendapatan peserta di samping menaik taraf pengusaha tempatan. Mereka juga dapat meningkatkan kemahiran teknikal dan pengalaman kerja dalam membangunkan industri pengeluaran cendawan negara.

“Saya turut berbesar hati dengan FFSB, UM dan Nuklear Malaysia atas usaha dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan projek ini. Kami sentiasa menekankan kepentingan bekerjasama terutama antara pemain industri, akademia dan agensi kerajaan bagi memacu bioekonomi negara.

“Kolaborasi seperti ini bukan saja dapat mengembangkan industri cendawan Malaysia, malah dapat menyumbang kepada perkembangan sosio-ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, ia adalah projek BCDP ketiga yang menerima dana MSI selepas penyerahan projek pengeluaran madu lebah di Kuala Linggi, Melaka dan projek penanaman kacip fatimah di Tangkak, Johor.

“Sehingga Mei lalu, seba­nyak 34 projek dilaksanakan di bawah BCDP membabitkan lebih 2,700 peserta. Bagi tahun ini, kami berjaya membabitkan 1,985 peserta BCDP yang melebihi sasaran 600 peserta BCDP bagi tahun ini.

“BCDP bagi memba­ngunkan bioekonomi Malaysia. Sebagai agensi utama yang berperanan untuk memacu bioekonomi negara, kami ingin meningkatkan pelaksanaan BCDP untuk menghubungkan komuniti dan pihak industri.

“Ia melalui pemindahan teknologi, di samping meningkatkan taraf hidup serta pendapatan masyarakat luar bandar. Pelaksanaan BCDP juga dapat memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat saksama, selaras dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11),” katanya.

Syed Agil berkata, BCDP dapat meningkatkan pendapatan dan pengeluaran komuniti atau usahawan tempatan dengan mengaplikasikan teknologi terkini berasaskan bioteknologi, di samping membangunkan kemahiran keusahawanan mereka melalui perladangan kontrak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2017 @ 3:53 AM