KAEDAH beg semaian digunakan sebagai medium tanaman kerana lebih mudah dan menjimatkan ruang.
ABD Kadir guna sistem fertigasi digunakan untuk tanaman.
MOHD Aniq turut membantu menguruskan kebun bapanya.
Ainal Marhaton Abd Ghani
rencana@hmetro.com.my


PENGALAMAN bekerja hampir 36 tahun di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memberi kelebihan kepada Abd Kadir Yusof, 60, mengusahakan kebun dengan lebih 30 tanaman bersilih ganti pada satu-satu masa.

Pesara terbabit bermula dengan tanaman 120 pokok durian belanda yang dijadikan landskap utama menuju ke kebunnya yang diusahakan secara berperingkat sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kebun ini bermula dengan pokok durian belanda disusuli halia bara ditanam dengan 3,000 beg semaian, halia bentong (20 beg semaian), kunyit dan bunga kantan masing-masing 200 beg semaian.

“Kebun seluas 0.8 hektar turut dipenuhi deretan 1,000 pokok jagung, terung (2,000 beg semaian) dan cili besar (2,000 beg semaian).

“Hasil sedikit dikongsi sedikit, jika banyak, banyaklah yang dikongsi. Saya turut menanam pokok kundang hibrid, delima merah, lemon sunkist, durian matadong, kelapa pandan dan kelapa jeli.

“Selain itu, belimbing, jambu batu, pisang, bluberi, cermai barbados, mempelam, anggur Brazil, buah bidara dan buah nona turut ditanam,” katanya ketika ditemui di Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Abd Kadir berkata, kebunnya pernah ditenggelami banjir beberapa kali itu turut dipenuhi deretan pokok herba, ulam-ulaman, sayuran seperti sawi, kucai, bayam, kailan, salad, kangkung, kobis, lobak, keladi telur dan serai.

“Di Kampung Tanjung Batu, Pekan pula, saya turut menanam terung dan cili dalam 5,000 beg semaian, 150 pokok limau kasturi dan jagung 30,000 pokok.

“Saya menggunakan konsep ‘berkebun secara berjemaah’ iaitu mencari keluarga susah dan bantu mereka bekerja di kebun dengan upah setimpal pekerjaan dilakukan,” katanya.

Beliau yang turut dibantu anak sulungnya, Mohd Aniq, 30, menggunakan kaedah beg semaian sebagai medium tanaman kerana lebih mudah, menjimatkan ruang dan lebih tersusun tanpa tenaga kerja yang ramai

“Tanah tidak perlu digembur, tidak perlu batas panjang dan lebih penting, memudahkan pengunjung membeli tanaman dengan membawa pulang berapa banyak beg tanaman yang dikehendaki,” katanya.

Menurutnya, sebagai bekas pegawai MARDI yang terbabit secara langsung dalam mempromosi terutama dari segi teknologi tanaman, beliau memiliki kelebihan tersendiri untuk menentukan proses dan teknik penanaman, penggunaan air, baja serta racun bersesuaian untuk mendapatkan hasil dalam kuantiti banyak lagi berkualiti.

Katanya, ilmu dan kemahiran dimiliki tidak hanya untuk dirinya sendiri sebaliknya turut dikongsi bersama pengunjung yang melawat kebunnya dan pada masa sama mengambil peluang belajar kaedah penananam serta pembajaan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Pahang yang banyak membantu dari segi sokongan moral dan peralatan berkebun.

“MARDI juga banyak membantu dari segi teknikal dan khidmat nasihat walaupun saya bersama mereka lebih daripada 30 tahun,” katanya yang berasal dari Kampung Tanjung Batu itu.

Abd Kadir berkata, kebun sayurnya diuruskan sendiri dan hanya menggunakan khidmat pekerja sambilan ketika awal penanaman serta mengutip hasil tanaman yang sudah matang.

Dari segi siraman, Abdul Kadir menggunakan sistem fertigasi iaitu kaedah titisan dengan tiga kali siraman untuk pokok besar dan sekali sehari bagi tanaman masih kecil.

“Sementara pembajaan dilakukan dua kali sehari menggunakan 13 jenis bahan kandungan untuk membuat baja dan meracun pula bergantung kepada situasi semasa terutama apabila tanaman diserang serangga perosak.

“Teknologi penanaman membolehkan pokok ditanam lebih mudah tetapi masih memerlukan pemantauan berterusan bagi mendapatkan hasil berkualiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 6:46 AM