POKOK putat
BUAH putat
myMetro

POKOK putat laut berasal dari India, Sri Lanka, Pulau Andaman, Thailand, Kemboja, Vietnam dan Malaysia.

Ia sejenis pokok yang tidak bermusim iaitu berbunga dan berbuah sepanjang tahun.

Pokoknya sederhana besar dengan ketinggian sehingga 20 meter. Batang pokok bercabang, mempunyai dahan yang banyak, rendah dan membentuk seperti mahkota besar.

Kulit pokok berwarna merah keabu-abuan, halus hingga kasar dan tebal pada pokok yang tua.

Buahnya besar berwarna hijau tua, 7 hingga 11 sentimeter (sm) lebar, bersegi, berkulit tebal dan berserat.

Buah diseliputi biji berukuran diameter 4 hingga 5sm. Di bawah pokok terdapat sisa buah yang gugur. Buahnya mudah terapung di air dan disebarkan arus serta ombak laut.

Pucuk putat dijadikan ulam sementara buah yang segar atau bijinya ditumbuk lumat dan digunakan untuk menuba ikan.

Pokok ini juga ditanam sebagai pokok hiasan, naungan dan penghalang angin. Kayunya yang sudah diawet digunakan sebagai bahan binaan.

Walaupun tumbuh di tepi pantai, putat laut sesuai ditanam di kawasan tanah yang bercampur pasir untuk dijadikan pokok teduhan terutama di taman bunga atau di tempat awam terbuka.

Bahagian yang digunakan dalam perubatan tradisional ialah buah, daun dan biji.

Sumber: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 6:39 AM