FOTO Hiasan.
Datuk Dr Zahazan Mohamed

DAHULU saya tidak menjaga pemakanan. Pantang ada yang sedap, saya makan sehinggalah saya menghidap penyakit. Atas nasihat kawan, saya selalu mengamalkan puasa menyebabkan saya semakin pulih. Apabila berpuasa, saya tidak ingat makan sangat menyebabkan badan lebih cergas. Bolehkah saya berpuasa sunat sebulan penuh kerana saya yakin mampu melakukannya seperti bulan Ramadan.

Hafiz, Sungai Besi, KL

ADA satu hadis daripada Ummul Mukminin Aisyah, beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW apabila Baginda menyuruh mereka, Baginda menyuruh mereka supaya melakukan amalan-amalan yang sesuai dengan kemampuan mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Maksud ‘menyuruh mereka’ itu adalah menyuruh sahabat Baginda. Tetapi tentu hanya bukan sahabat saja, tetapi kita semua adalah umat Baginda.

Sedangkan yang dimaksudkan dengan amalan di sini ialah amal ibadat yang sifatnya sunat, mustahabbah atau mandub, bukan yang hukumnya wajib.

Jika amal perbuatan itu hukumnya wajib seperti solat lima waktu atau puasa bulan Ramadan, maka perkara itu setiap Muslim wajib melakukannya.

Adapun jika amalan itu sifatnya sunat, apa pun bentuk amalnya sama ada solat sunat, puasa sunat, membaca al-Quran, berzikir, berinfak, bersedekah dan sebagainya hendaklah dilakukan mengikut kemampuan saja.

Jangan berlebihan dalam melakukannya. Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar yang mengatakan maksudnya, Nabi SAW menyuruh mereka melakukan amal ibadat yang tidak menyusahkan.

Baginda bimbang pada kemudian hari mereka tidak mampu terus memelihara dan menjaganya. Sebab itu, Allah SWT menyukai amal ibadat yang dilakukan secara berpanjangan atau terus-menerus sebagaimana yang disebutkan dalam satu hadis sahih: “Amal yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dilakukan secara terus- menerus walaupun sedikit.” (Muttafaqun Alaih)

Sebenarnya, Islam adalah agama yang sangat memperhatikan faktor kemanusiaan. Orang boleh jatuh sakit jika terlalu letih melakukan sesuatu pekerjaan.

Orang boleh muflis apabila menafkahkan hartanya tanpa ada baki yang tinggal.

Orang boleh berselisih faham dengan isteri dan anak-anaknya jika dia terlalu memikirkan urusan akhiratnya, tetapi sama sekali tidak pernah memikirkan atau berusaha untuk kehidupan keluarganya.

Seseorang melakukan ibadat secara berlebihan itu adalah orang yang tidak pandai, maka dia akan menjadi sasaran syaitan untuk menyesatkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Dalam kitab Tafsir Taysir al-Karim al-Mannan, Syeikh as-Sa’di menyebut: “Sesungguhnya Allah benar-benar memudahkan syariatnya bagi mereka. Dia tidak membebani mereka dengan amal-amal yang berat, menyukarkan dan mengikat sebagaimana yang pernah Dia bebankan kepada umat sebelum mereka. Dan Allah juga tidak memberikan beban yang melebihi had kemampuan mereka.”

Perkara itu selaras dengan kebiasaan Rasulullah SAW yang suka memilih sesuatu yang lebih ringan jika disuruh memilih di antara dua pilihan selama mana ia tidak dalam perkara yang diharamkan.

Bahkan, Baginda sangat marah ketika sebahagian sahabat mengatakan mereka melakukan amal ibadat melebihi had kemampuan kerana mereka berasa diri tidak seperti Rasulullah yang diampuni segala dosanya yang lampau dan akan datang.

Dalam satu hadis menyebut: “Wahai Rasulullah, kami ini tidak seperti tuan. Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mengampuni semua dosamu yang lalu dan akan datang.”

Maka Baginda pun sangat marah sehingga kemarahan itu kelihatan di wajahnya. Kemudian Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling bertakwa dan mengetahui mengenai Allah ialah saya.”

Ketika Nabi bertanya Abdullah bin Al-Ash: “Bagaimana kamu berpuasa?” Abdullah berkata: “Setiap hari.” Nabi berkata: “Bagaimana kamu mengkhatamkan al-Quran?” Abdullah menjawab: “Setiap malam”

Nabi berkata: “Berpuasalah tiga hari saja dalam sebulan dan khatamkan al-Quran dalam sebulan.” Abdullah berkata: “Saya sanggup lebih daripada itu.”

Nabi berkata: “Berpuasalah tiga hari dalam seminggu.” Abdullah berkata: “Saya sanggup lebih daripada itu.” Nabi berkata: “Berpuasalah setiap tiga hari sekali.”

Abdullah berkata: “Saya sanggup lebih daripada itu.” Nabi berkata: “Berpuasalah seperti puasanya Nabi Daud, sehari puasa dan sehari berbuka. Itu ialah puasa yang paling baik. Dan khatamkan al-Quran setiap tujuh malam sekali.” (Riwayat Ahmad)

Justeru, kalau anda mahu kerap berpuasa, ikutlah puasa Nabi Daud AS iaitu puasa sehari, berbuka sehari dan sesungguhnya itulah puasa yang paling baik.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 2:00 AM