FOTO Hiasan.
Dr Nurulbahiah Awang

FITRAH kejadian lelaki dan wanita ada diceritakan dalam al-Quran yang menjadi bukti keagungan dan kekuasaan Allah SWT.

Allah berfirman dalam Surah at-Tiin, ayat 4 bermaksud: “Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya.”

Allah SWT turut memuliakan manusia seperti firman-Nya dalam Surah al-Isra’, ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami muliakan anak cucu Adam dan Kami membawa mereka ke daratan dan lautan dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka

atas kebanyakan daripada siapa saja yang Kami ciptakan dengan kelebihan yang sempurna.”

Terlalu banyak penceritaan di dalam al-Quran mengenai kejadian manusia, keadaan, kelebihan dan sifat-sifatnya. Betapa bertuahnya manusia kerana dijadikan Allah sebagai sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain di atas muka bumi ini.

Setiap manusia inginkan kehidupan bahagia. Bagaimanapun, definisi bahagia itu berbeza mengikut kefahaman, didikan dan ilmu yang diperolehnya.

Penafsiran bahagia mengikut nafsu sudah pasti akan membawa manusia ke arah kesesatan dan kezaliman. Allah SWT

berfirman dalam Surah al-Qasas, ayat 50 yang bermaksud “…maka ketahuilah bahawa mereka mengikuti keinginan hawa nafsu mereka. Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti keinginannya tanpa mendapat petunjuk daripada Allah sedikitpun? Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang zalim.”

Ramai orang yang memperjuangkan hak kemanusiaan. Bagaimanapun, hak itu sebenarnya perlu bersifat sejagat bukannya individualistik.

Hak berlandaskan agama akan memberikan kebahagiaan, keamanan dan manfaat kepada seluruh umat manusia. Sebagai contoh, Islam menjaga

hak kemanusiaan bersesuaian dengan fitrah dan peranan manusia.

Islam mendukung hak asasi manusia selagi hak itu tidak memusnahkan manusia lain dan tidak melanggar perintah Allah. Ia bukanlah memberi kebebasan mutlak kepada manusia tanpa melihat matlamat kehidupan dan kebahagiaannya.

Hak asasi manusia dalam Islam mesti bertepatan dengan hukum hakam yang Allah tetapkan melalui al-Quran dan sunah iaitu merangkumi hak dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah.

Akhir-akhir ini, isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menjadi bualan hangat masyarakat. Ia bukanlah isu baru, tetapi satu penyakit yang dihadapi manusia sejak zaman-berzaman yang perlu dirawat dan dicegah.

Berdasarkan laporan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, seramai 1,697 individu yang mengamalkan tabiat seks songsang seperti homoseksual dan biseksual adalah sebahagian daripada 3,347 kes HIV baharu dicatatkan pada 2017.

Lebih mengejutkan, jumlah itu 14 kali ganda lebih tinggi berbanding individu yang mengambil dadah melalui perkongsian jarum suntikan (IDU) dijangkiti HIV yang sering diperkatakan sebagai punca utama penyebaran virus berkenaan.

Sehubungan itu, nilai yang benar dalam diri seseorang itu perlu diterapkan sejak dari awal lagi. Begitu juga hal berkaitan halal dan haram perlu dijelaskan dan diberikan pendedahan supaya terbina benteng kukuh dalam diri berpaksikan keimanan kepada Allah SWT.

Golongan lelaki yang menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki haram hukumnya dalam Islam. Larangan itu jelas berdasarkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Rasulullah SAW melaknat orang lelaki menyerupai wanita dan (melaknat) wanita yang menyerupai lelaki.” (Hadis Riwayat Bukhari juz 7, halaman 55)

Allah SWT ‘menyentap’ lamunan kita untuk bermuhasabah supaya setiap mukmin menjaga seluruh ahli keluarga mereka daripada bakaran api neraka.

Sebab itu, pentingnya memberi penjelasan mengenai hukum hakam atau ilmu agama kepada anak-anak. Naluri songsang itu mungkin terbit dalam jiwa mereka ketika di sekolah, asrama, tempat kerja atau di mana-mana tempat yang jauh daripada pemantauan penjaga.

Golongan terbabit semakin ramai dan mendapat sokongan daripada pihak tertentu dari dalam dan luar negara. Golongan itu perlu diubati dengan mengembalikan mereka kepada fitrah supaya berupaya menjadi induk yang dapat mengembang biak keturunan yang baik.

Mereka perlu diberikan kesedaran mengenai rukun iman keenam iaitu percaya kepada qada’ dan qadar yang menjadikan mereka lelaki atau wanita dengan mempunyai kelebihan dan kekurangan dan peranan masing-masing.

Penulis pensyarah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kampus Putrajaya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 1:00 AM