Gambar hiasan. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Shahrizal Nasir

Perjalanan hidup di dunia ini sentiasa ada suka dan dukanya. Semalam, mungkin kita berada dalam keadaan gembira, namun hari ini kita dilanda kesedihan.

Walau bagaimanapun, kesenangan dan kegembiraan dunia hanya bersifat sementara, malah penuh dengan tipu daya.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 185)

Tidak salah mengecapi nikmat dunia seperti memiliki kemewahan harta benda asalkan ia masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Kegembiraan dirasai hasil penganiayaan terhadap orang lain, itu yang diharamkan.

Begitu juga kemewahan dunia diperoleh daripada sumber haram seperti mencuri, menipu, hasil riba’ dan sebagainya turut diharamkan Allah SWT.

Kita bertanggungjawab atas setiap perkara yang dilakukan di atas dunia ini. Allah SWT menjelaskan, fitrah manusia sukakan kesenangan dalam kehidupan.

Manusia sukakan perhubungan dengan jantina berlawanan dengannya. Begitu juga dengan harta benda meliputi wang, kenderaan dan kediaman menjadi kesukaan manusia.

Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun daripada emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 14)

Manusia inginkan hubungan harmoni dengan pasangan masing-masing. Mereka berkongsi hidup dan menjalani kehidupan berkeluarga dengan penuh kebahagiaan.

Islam menghalalkan hubungan antara pasangan lelaki dan wanita melalui pernikahan bagi memenuhi fitrah mereka. Islam jelas menolak sebarang usaha menyalahi fitrah iaitu hubungan sejenis serta hubungan antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan sah.

Lihatlah betapa Islam mengambil berat soal menjaga keturunan bermula daripada kurniaan anak-anak. Sebelum lahirnya zuriat ke dunia, banyak garis panduan diberikan oleh agama sehinggalah kelahiran anak.

Kemudian, Islam menyarankan anak diberi nama yang baik serta diberikan hak kasih sayang sehingga anak itu mampu meneruskan kehidupan sendiri.

Setiap ibu bapa mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan zuriat keturunan mereka terselamat daripada api neraka.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya (terdiri daripada) manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah at-Tahrim, ayat 6)

Sehubungan itu, fitrah manusiawi perlu diurus sebaiknya. Dunia adalah tempat untuk menanam kebaikan supaya hasilnya dapat dituai di akhirat kelak.

Keluarga dan harta benda perlu diurus dengan baik supaya ia dapat memberi manfaat ketika berada di akhirat kelak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apa pun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (daripada syirik dan penyakit munafik).” (Surah as-Shu’ara’, ayat 88-89)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:20 AM