FOTO Hiasan.
Fatimah Syarha Mohd Noordin

KATA-KATA sangat penting kerana pengaruhnya cukup besar dan boleh memberi kesan terhadap kualiti hidup seseorang. Tidak hairanlah al-Quran menyebut mengenai teknik kata-kata berkesan dalam banyak perkara.

Antaranya, teknik ‘qaulan sadida’ iaitu kata-kata yang jujur, benar, tidak berbelit, tidak menutup kebenaran dan tidak mengaburi. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah orang-orang yang takut kalau di belakang hari mereka meninggalkan keturunan yang lemah dan mencemaskan (merasa ketakutan) akan mereka. Maka bertakwalah kepada Allah dan berkatalah dengan ‘qaulan sadida’ (perkataan yang benar).” (Surah al-Nisa’, ayat 9)

Syurga Allah nanti digambarkan tiada kata-kata yang sia-sia di dalamnya. Bahkan, Nabi SAW pernah menceritakan ciri-ciri khas dalam syurga buat Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Ulama menafsirkan, Saidatina Khadijah tidak bersuara keras dalam rumahnya. Kata-katanya sentiasa disusun indah untuk menunjukkan betapa dia memahami suaminya dengan penuh kesabaran serta dapat mendidik anak-anaknya sepenuh cinta.

Keperibadian Nabi SAW juga dipuji kerana baginda berbuat baik kepada ahli keluarganya. Tiada suara tengking atau sepak terajang. Semuanya diungkapkan dengan kata-kata hikmah sehingga melekat di ingatan ahli keluarganya seterusnya diwariskan ke generasi berikutnya.

Bagaimana keadaan rumah tangga masyarakat kita hari ini? Kita sering mendengar berita mengenai suami ‘meninju’ muka isteri sehingga mata lebam dan mulut pecah.

Isteri pula mengamuk mengancam suami dengan pisau atau melepaskan dendam kepada anak. Anak pula membuli di sekolah dan berlagak samseng. Antara punca utama berlaku kes seumpama itu adalah disebabkan soal dalaman. Soal hati, jiwa dan emosi yang tidak diurus.

Daripada an-Nu’man bin Basyir, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Ingatlah bahawa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rosak, maka rosak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kenapa hati boleh sakit? Antara puncanya ialah kerana seseorang itu pernah melalui kitaran asuhan dan komunikasi daripada ibu bapa, adik-beradik, pengasuh, guru, bacaan, media atau persekitaran yang tidak menghargai hati dan perasaannya.

Namun, kata-kata ibu bapalah paling besar pengaruhnya dalam hidup seseorang. Daripada Anas, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak dilahirkan di atas fitrah, maka ibu bapanya yang menjadikan agamanya Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Maka, ada orang yang bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapat engkau mengenai orang yang meninggal sebelum itu? Baginda SAW menjawab: “Allah lebih mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Muttafaq 'alaih)

Akibat dibesarkan dalam lingkungan sering mendengar kata-kata ‘tajam’, menipu dan membentak, anak sukar mengurus emosinya sendiri. Dia tidak diasuh untuk memahami dan menyelesaikan masalah.

Ibu bapa yang kacau emosi biasanya hidup dalam kitaran lebih ganas lagi. Dia mungkin pernah dipukul, didera, dicaci, dikurung, dilempar objek keras dan sebagainya.

Siapa tahu, ibu bapa itu sebenarnya sudah berusaha sehabis baik untuk anaknya. Apakan daya, setakat itu cuma ilmu dan kemampuannya.

Bagaimana menggunakan teknik ‘qaulan sadida’? Berkata-katalah dengan ilmu, meskipun kita secara spontan sering berkata-kata mengikut rentak bagaimana ibu bapa memperlakukan kita.

Dengan panduan ilmu, usah berterusan berbohong dan menutup kebenaran. Misalnya, apabila memanggil anak untuk memakaikan lampin atau menyuap makanan, ibu bapa mudah ‘berbohong’.

“Mari sini! Ada cicak di situ.” Anak segera datang namun sebenarnya tiada cicak pun di tempat itu. Kita fikir cara itu dilakukan cuma mahu anak segera datang dan menikmati keperluan hidupnya.

Sebaliknya, kita terlepas pandang cara itu mengikis rasa percaya anak, menyuntik kecewa dan mengajarnya berbohong. Terdapat hadis menceritakan bagaimana Rasulullah ternampak seorang ibu memanggil anaknya dan berkata: “Mari ke sini, ibu akan memberimu sesuatu.”

Rasulullah bertanya: “Apakah yang kamu ingin berikan kepada anakmu?” “Saya bercadang untuk memberikannya kurma.” Maka, Rasulullah berkata: “Jika kamu tidak memberikannya, ia akan direkod sebagai penipuan.”

Pentingkah menjaga rasa percaya anak kepada kita? Sudah tentu penting kerana semakin besar rasa sangsi anak terhadap kita, semakin payah dia mendengar kata.

Saat itu, rasa empati anak kepada pengorbanan orang tua semakin merosot. Anak tidak lagi rasa difahami, maka dia juga tidak mahu memahami.

Cegahlah sebelum merawat. Izinkan anak-anak sejak kecil belajar mengendalikan emosi, menguruskan kemahuan dan fikiran mereka. Ibu bapa perlu menjadi model supaya anak-anak dapat belajar.

Usah kita berkelakuan fizikalnya saja kelihatan mempunyai ramai anak, tetapi fikiran masih seperti kanak-kanak. Apabila anak meragam, ibu bapa lebih teruk meragam dan mengamuk. Anak memukul adik, ibu bapa lagi dahsyat memukul balas dan mendera.

Lalu, bagaimana anak belajar erti memaafkan dan makna kesabaran. Itulah kitaran biasa terjadi jika anak tidak dibesarkan dalam komunikasi ‘qaulan sadida.’

Kunci pencegahan bagi kitaran itu ialah, “Bertakwalah kepada Allah dan berkatalah dengan perkataan yang benar (qaulan sadida).

Justeru, berkatalah dengan benar dan jujur. Andai tersilap, usah terlalu kecewa, maafkan diri dan meminta maaflah kepada anak. Jernihkan hati dengan zikrullah saat bersama anak supaya jernih juga tindakan kita.

Ia akan mengisi jiwa anak dengan pengalaman berharga. Itulah yang mengangkat kita sebagai khalifah bukan sekadar menjaga anak dengan mengisi keperluan makan, minum dan menyediakan perlindungan untuknya saja.

Manusia mempunyai hati yang perlu diisi sebaiknya. Keperluan hati dan kejiwaan akan menentukan karakter masa depan anak-anak.

Penulis ialah pendakwah dan penulis buku

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 3:00 AM