FOTO Hiasan.
Hilmi Isa

MEWAH adalah sesuatu yang eksklusif. Eksklusif bermaksud sesuatu perkara yang tidak ramai memilikinya. Kalau kita lihat harga barangan edisi khas atau terhad harganya memang tinggi.

Golongan kaya raya tidak suka memakai barangan dipakai oleh orang kebanyakan. Apabila membeli rumah, mereka memilih untuk tinggal di kawasan elit, memandu kereta berjenama dari Itali dan destinasi percutian pilihan pula sudah pasti ke Eropah.

Hakikatnya, kemewahan itu sebenarnya adalah palsu. Kebanyakan mereka sebenarnya turut berhutang demi imej. Sehinggakan hendak belanja kawan-kawan dan saudara-mara makan pun kadang-kadang berkira kerana kebanyakan wang dihabiskan bagi tujuan berkenaan.

Jadi apa sebenarnya yang mewah dan eksklusif pada zaman ini yang tidak ramai memilikinya? Jawapannya adalah ketenangan. Itulah perkara yang ramai orang kejar dan mahukan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Ramai orang merasakan percutian boleh memberikan ketenangan. Segala masalah yang mencengkam jiwa dapat dilupakan buat sementara waktu.

Bagaimanapun, sebaik pulang bercuti, kita akan kembali menghadap masalah dan hidup kembali berserabut.

Ini termasuk dengan hal-hal politik di pejabat selain dikelilingi pula orang yang penuh hasad dengki menjadikan kerja tidak pernah selesai sehingga terpaksa pula dibawa pulang ke rumah.

Tidak kurang juga ramai mempunyai masalah rumah tangga. Isteri dan suami kedua-duanya sibuk membina karier. Anak menjadi mangsa dan terabai sehingga mereka cuba mencari perhatian di luar.

Akhirnya mereka terjebak dengan masalah sosial. Pasangan yang terabai pula terjebak dengan perhubungan gelap. Di mana penghujung semua itu?

Ramai orang terlupa atau tidak sedar segala masalah datangnya daripada Allah dan Dia juga yang membuka dan memberi jalan penyelesaiannya.

Allah SWT datangkan segala masalah dan cubaan akibat kelalaian diri kita sendiri. Itu tandanya Allah menyayangi hamba-Nya dan ingin kita kembali kepada-Nya.

Maka, kita perlu berusaha bangun mengerjakan solat tahajud pada malam hari dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk dan kekuatan dalam menghadapi masalah.

Hadirkan diri ke masjid serta bergaullah dengan orang soleh, terutamanya orang tua kerana mereka banyak pengalaman hidup. Apa yang kita hadapi kadangkala tidak sebesar mana pun.

Dengan bimbingan insan berpengalaman, Insya-Allah kita boleh keluar daripada sebarang masalah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan memberikan baginya jalan keluar (dalam semua masalah yang dihadapinya), dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” (Surah al-Talaaq, ayat 2-3)

Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 2:15 AM