FOTO hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Shahrizal Nasir

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 19)

Dalam Tafsir at-Tabari dinyatakan, maksud ayat “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam” merujuk kepada ketaatan hanya kepada Allah SWT iaitu pengakuan lisan dan hati untuk beribadat dan tunduk kepada-Nya.

Selain itu, berusaha untuk mentaati segala hal yang diperintah dan dilarang oleh-Nya dengan sikap tunduk tanpa disertai sifat sombong, menyimpang dan menyekutukan Allah SWT.

Penjelasan itu menolak sebarang usaha untuk mencari agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT selain Islam. Sebarang usaha dilakukan untuk mencari agama selain Islam adalah satu usaha mungkar.

Pengiktirafan Islam sebagai agama samawi yang benar dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain daripada agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada kalangan orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 85)

Kebenaran Islam akan terus terpelihara kerana setiap ajarannya datang secara langsung daripada Allah SWT. Buktinya, sumber utama pegangan umat Islam yang mencakupi aspek kehidupan duniawi dan ukhrawi dijelaskan dalam al-Quran.

Al-Quran mengandungi titah perintah Allah SWT yang sempurna dan ia kekal dalam pemeliharaan-Nya tanpa sebarang perubahan. Ajaran Islam juga tidak ditokok tambah.

Rasulullah SAW diamanahkan hanya untuk menjelaskan dan menyampaikan setiap inci Kalamullah. Rasulullah SAW tidak pernah bercakap mengenai agama berdasarkan fikiran Baginda sendiri. Sebaliknya, setiap perkataan yang keluar semata-mata wahyu dari Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah an-Najm, ayat 3-4)

Setiap Muslim perlu faham setiap perkara yang disandarkan kepada Islam mesti berasaskan ilmu yang benar, bukan fahaman peribadi. Umat Islam juga dilarang untuk bercakap mengenai Islam menggunakan logik fikirannya sendiri sedangkan nas mengenainya jelas termaktub dalam sumber agama.

Sememangnya terdapat beberapa perkara dalam Islam yang tidak dapat logik dengan akal fikiran. Justeru, usah ada pihak berlagak serba tahu semata-mata untuk menjelaskan perkara di luar kemampuan dirinya untuk memberi penjelasan.

Persoalan mengapa solat fardu Zuhur ditunaikan sebanyak empat rakaat manakala solat Maghrib sebanyak tiga rakaat, solat Subuh pula dua rakaat saja.

Itu antara persoalan di luar kemampuan kita untuk menjelaskannya kerana ia datang secara langsung daripada Allah SWT.

Tidak semua boleh ditafsir menggunakan logik fikiran manusia yang amat terhad. Begitu juga ketika berbicara mengenai nas agama. Sebagai individu yang tidak mencapai kelayakan sebagai seorang mujtahid agama, kita perlu berhati-hati dalam mentafsir nas al-Quran dan hadis.

Rasulullah SAW memberi amaran yang keras terhadap golongan yang bercakap mengenai agama, namun rekaan daripada dirinya sendiri dan dengan sedar menyandarkan rekaan itu kepada Rasulullah SAW.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada dalam kalangan orang Islam bercakap hal agama tetapi menggunakan dalil di luar konteks tajuk perbincangan. Contohnya, apabila bercakap hal fitnah dan bahayanya, lantas menggunakan ayat 191 daripada surah al-Baqarah sebagai dalil.

Memang benar, dalam bahasa yang difahami seharian perkataan ‘fitnah’ diertikan sebagai tuduhan suatu perbuatan kepada orang lain yang hakikatnya orang yang dituduh itu tidak melakukan perbuatan buruk berkenaan. Maka, perilaku itu disebut memfitnah.

Bagaimanapun, apakah makna ‘fitnah’ yang dimaksudkan dalam ayat 191 surah al-Baqarah itu? Ayat berkenaan bermaksud: “…dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…”

Ibn Kathir menjelaskan, Abu al-‘Aliyah, Mujahid, ‘Ikrimah, Al-Hasan, Qatadah, Al-Dahhak dan Al-Rabi’ bin Anas menghuraikan maksud perkataan ‘fitnah’ pada ayat itu sebagai ‘syirik’.

Maksud yang tepat bagi ayat itu ialah perbuatan mensyirikkan Allah SWT itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan. Itulah antara perkara yang perlu diberi perhatian serius apabila berbicara mengenai agama.

Ia perlu disandarkan kepada ilmu. Jika nas agama ditafsirkan mengikut pemahaman sendiri, maka akan berlakulah kerosakan terhadap agama.

Dalam usaha murni menyebarkan Islam, kita perlu sedar betapa pentingnya menjadikan ilmu sebagai asas utama. Kebenaran agama Islam perlu dipelihara daripada sebarang pentafsiran salah meskipun tafsiran itu dibuat bagi tujuan kebaikan.

Sikap berhati-hati perlu ada dalam diri setiap Muslim ketika membicarakan perihal agama. Apatah lagi jika orang yang berkata hal agama itu adalah individu berpengaruh dalam kalangan masyarakat.

Kata-kata mereka amat mudah diterima orang awam, maka bercakaplah perkara agama dengan sandaran ilmu.

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 1:18 PM