Suriany Awaludin

Saya dan bekas suami disahkan bercerai kali ketiga pada 2010. Bekas suami melafazkan talak dalam keadaan marah selepas  saya mencabarnya di hadapan ibunya.

Pada 2014, bekas suami mengajak saya untuk merujuk kembali keputusan yang dikeluarkan pihak mahkamah kerana dia pernah bertanyakan beberapa peguam dan ada pihak mengatakan keputusan itu tidak sah.

Sehingga kini, saya menganggap kami bukan lagi suami isteri. Adakah perlu saya pergi semula ke mahkamah dan pejabat agama untuk mengesahkan semula mengenai perceraian kami sebelum ini?

Ingin tahu, Kuala Lumpur

Setiap dakwaan berlakunya lafaz cerai perlu diteliti pihak mahkamah dari segi rukun dan syaratnya.

Sekiranya mahkamah berpuas hati dengan keseluruhan rukun dan syarat itu, maka lafaz cerai itu akan disabitkan sebagai lafaz yang sah dan menggugurkan talak.

Sekiranya mana-mana pihak yang terkilan dan tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, pihak itu diberikan hak disisi undang-undang untuk membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam tempoh 14 hari selepas penghakiman.

Ini sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri yang memperuntukkan bagaimana sesuatu rayuan itu perlu dilaksanakan iaitu:

Seksyen 139, Notis rayuan:

1. Sesuatu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

2. Rayuan hendaklah dibuat dengan memberikan notis rayuan dalam Borang MS 29.

3. Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan.

4. Notis rayuan hendaklah difailkan dalam masa 14 hari dari hari keputusan itu diumumkan dan hendaklah menyatakan sama ada keseluruhan atau sebahagian saja dan bahagian yang mana keputusan itu yang dirayukan.

Walau bagaimanapun, bagi situasi puan, keputusan mahkamah sudah dikeluarkan pada 2010 dan tiada sebarang rayuan dibuat pihak puan atau suami sehingga ia berlanjutan selama empat tahun.

Mungkin pada tahun berkenaan, baru disedari kesahan lafaz dan perintah mahkamah, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

Dari segi amalannya, puan dan bekas suami boleh membuat rayuan walaupun selepas tamat tempoh untuk merayu.

Namun begitu, puan dan bekas suami hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran merayu daripada Mahkamah Syariah.

Selepas kebenaran diperoleh, barulah puan dan bekas suami boleh merayu terhadap keputusan pengesahan lafaz cerai yang keluarkan pada tahun 2010.

Dalam membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu, mahkamah perlu dijelaskan dengan beberapa perkara yang menjadi asas utama pertimbangan mahkamah iaitu:

1. Tempoh kelewatan.

2. Sebab kelewatan.

3. Kebarangkalian untuk pemohon berjaya dalam rayuannya.

4. Tahap prejudis kepada pihak yang satu lagi.

Di bawah Seksyen 238 Enakmen sama, seksyen itu memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah untuk memutuskan permohonan kebenaran untuk merayu demi keadilan pihak yang terbabit.

Seksyen itu tidak memperuntukkan syarat yang perlu dipenuhi dalam sesuatu permohonan perlanjutan tempoh masa.

Oleh itu, saya mencadangkan sekiranya puan dan bekas suami masih terkilan dan berhasrat untuk mahkamah meneliti semula lafaz cerai kali ketiga yang dibuat bekas suami, puan atau bekas suami boleh memohon kebenaran merayu terlebih dahulu.

Selepas kebenaran diperoleh, barulah puan atau bekas suami membuat rayuan ke atas lafaz cerai berkenaan.

Tiada istilah untuk mem-buat pengesahan kedua bagi lafaz cerai pada 2010 berkenaan kerana lafaz cerai itu sudah didengar dan diteliti di mahkamah.

Sebaliknya, terma yang digunakan adalah rayuan ke atas perintah pada 2010 itu dan ia perlu dirujuk ke mahkamah syariah saja.

Penulis ialah peguam syarie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 11:11 AM